Siakap Keli
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor ketika sidang media tangkapan kes curi basikal oleh BSJD Seberang Perai Utara (Gambar: IPD Seberang Perai Utara)

Polis Cari Dua Lelaki Bantu Kes Pukul Pengawal Keselamatan

BUTTERWORTH, 18 Sept (Bernama) — Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua pengawal keselamatan warga Nepal dipukul dan dibelasah dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Jalan Habour Place, di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dua lelaki itu ialah Muhamad Firdaus Muhamad Rodzi, 24, beralamat terakhir di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas dan rakannya Ahmad Habibullay Mohamad Noor, 26, berasal dari Kampung Titi Tok Bandar di Perlis.

“Polis meminta dua lelaki itu tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau orang ramai yang mengenali mereka dapat menyalurkan maklumat kepada kami supaya polis dapat mengesan kedua-duanya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya dalam kejadian 9.45 malam itu, dua pengawal keselamatan berusia 33 tahun dan 36 tahun itu sedang bertugas di apartmen berkenaan sebelum didatangi dua suspek lelaki menumbuk seorang daripada mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh dan mengalami luka pada bahagian bibir, bengkak di kedua-dua belah pipi serta retak pada buku lali sebelah kaki kiri.

Beliau berkata rakan mangsa yang cuba membantu meleraikan pergaduhan itu turut ditumbuk oleh suspek pada bahagian muka dan kepala beberapa kali hingga menyebabkan bengkak dan lebam pada mata sebelah kiri dan sakit pada bahagian kepala.

Noorzainy berkata hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal terbabit yang menegurnya kerana membuat bising semasa dua lelaki itu dan empat lagi rakannya menyewa di apartmen itu sejak Selasa lepas sebelum mangsa turut menghubungi polis berikutan kumpulan berkenaan tidak mematuhi arahan ditetapkan pengurusan.

“Mereka dikatakan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat sepanjang malam sehingga mengganggu ketenteraman penduduk lain, dipercayai kumpulan tersebut mengadakan pesta liar di sebuah rumah inap di situ. Pengawal keselamatan menegur mereka beberapa kali pada 4.30 pagi malah turut memberi amaran akan membuat laporan polis jika terus membuat bising,” katanya.

Katanya, kumpulan itu yang sepatutnya mendaftar keluar semalam telah bertindak memukul dua pengawal keselamatan berkenaan sebelum melarikan diri.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki berusia 26 tahun itu yang dicari bagi membantu siasatan kes tersebut mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.