Gambar: Bernama

Zii Jia Bantu Pasukan A Juarai Edisi Sulung Piala Presiden

KUALA LUMPUR, 17 Sept  — Pasukan A muncul juara edisi sulung Kejohanan Badminton Piala Presiden selepas menang selesa 4-1 ke atas Pasukan B pada aksi di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini hari ini.

Perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia menghadirkan mata sulung untuk Pasukan A setelah menundukkan pemain pelapis kebangsaan, Cheam June Wei menerusi kemenangan 22-20, 21-18.

Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menambah mata kedua untuk Pasukan A setelah menewaskan beregu kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik 23-21 dan 21-13.

Pemain pelapis negara Ng Tze Yong menghadiahkan mata ketiga untuk Pasukan A setelah mengatasi rakan sepasukan, Leong Jun Hao menerusi keputusan 21-19 dan 21-11.

Namun Pasukan B bangkit meraih mata sulung menerusi gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Muhd Rumsani yang  melakar kemenangan 21-19 dan 21-14 ke atas Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong.

Pemain muda, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar menambah lagi mata untuk Pasukan A selepas menundukkan Lee Shun Yang 21-15 dan 23-21.

Semalam Pasukan Wanita A yang diketuai perseorangan wanita utama negara, Soniia Cheah, muncul Juara Piala Presiden setelah menewaskan Pasukan Wanita B menerusi kemenangan tipis 3-2 di venue yang sama.

Piala Presiden merupakan kejohanan simulasi yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober ini di Aarhus, Denmark.

Bagaimanapun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berpasukan lelaki dan wanita itu susulan situasi semasa pandemik COVID-19.

 

Keputusan Piala Presiden (Lelaki):

Lee Zii Jia mn Cheam June Wei 22-20, 21-18

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mn Aaron Chia-Soh Wooi Yik 23-21, 21-13

Ng Tze Yong mn Leong Jun Hao 21-19, 21-11

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Muhd Rumsani mn Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-19, 21-14

Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar mn Lee Shun Yang 21-15, 23-21

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen

Dari Wiser.my