Gambar sekadar hiasan

Sarjan Polis Didenda RM20,000 Terima Wang Berhubung Kes Dadah

MELAKA, 21 Sept (Bernama) — Seorang sarjan polis didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pilihan iaitu menerima wang RM4,000 daripada seorang wanita berhubung kes dadah, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Azani Mohd Khalid, 34, yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, selepas menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Dia didakwa sebagai penjawat awam telah menerima wang tunai RM4,000 daripada seorang wanita, di Jalan Bidara Permai 5, Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah, pada 1.30 tengah hari, 9 Okt 2019.

Wang itu didakwa berkaitan tugas rasmi tertuduh sebagai Pegawai Penyiasat kes seorang lelaki yang disiasat, di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 4 Okt 2019, tertuduh menghubungi seorang wanita yang merupakan ibu kepada lelaki yang disiasat berhubung kes dadah, untuk memaklumkan anaknya direman sehingga 7 Okt 2019 sebelum menyatakan anaknya boleh dilepaskan, dengan menyerahkan RM4,000 kepadanya.

Wanita itu merayu agar bayaran itu dikurangkan, kerana jumlah tersebut terlalu tinggi dan tidak berkemampuan, namun tertuduh menyatakan bayaran itu sudah ditetapkan dan tidak boleh dikurangkan.

Berdasarkan rakaman perbualan di telefon bimbit, tertuduh memberitahu wanita itu agar menyerahkan bayaran wang tunai itu selewat-lewatnya 9 Okt 2019, dan tertuduh menyatakan akan hadir sendiri ke rumah wanita itu untuk mengambil bayaran tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Strok.

Pada 27 Feb lepas, Mohd Azani mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperoleh suapan RM4,000 untuk diri sendiri daripada seorang wanita mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Tambah komen

Dari Wiser.my