LUMUT, 22 Sept – Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit di Jalan Teluk Intan-Sitiawan di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 7.32 pagi itu dikenali sebagai Zaibidi Muhi, 40, dan Mohd Raimi Rustam Mohammad Rozi, 34 tahun.
Menurut beliau kejadian berlaku semasa kereta Proton Wira yang dipandu menghala ke Teluk Intan itu dipercayai memasuki laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan lori tangki yang dalam perjalanan ke Sitiawan.
“Apabila bomba tiba di lokasi, pemandu kereta dilihat tersepit di tempat duduk, dan bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkannya manakala penumpang telah dikeluarkan oleh orang awam, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, dan operasi tamat pada pukul 8.18 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Nor Omar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dinaiki kedua-dua mereka hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan dilanggar oleh lori tangki yang gagal mengelak.
Katanya pemandu lori berumur 43 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA