Dah selalu makan menu Melayu, apa kata sekali sekala kita tukar selera dan cuba masakan dari Timur Tengah?
Sebut sahaja nasi Arab, ramai yang terbayangkan nasi beras pusa dengan pelbagai rempah dan susah untuk dibuat sendiri di rumah.
Bagi anda yang teringin menikmati nasi Arab tapi tak tahu nak ke mana, bolehlah cuba buat sendiri mengikut resipi mudah ini.
Tak susah pun, boleh guna bahan yang sedia ada di rumah anda sahaja. Malah, resipi dikongsikan Nur Aisya ini ternyata sedap berdasarkan respon individu yang pernah menggunakan resipi ini.
Nasi Arab senang je
Cuba buat nasi Arab pakai bahan-bahan kat rumah je. Alhamdullilah menjadi dengan jayanya.
Menu berbuka semalam untuk 6 orang makan. Kongsi jugak la mana tau ada yang berkenan.
Untuk resepi nasi dan ayam ada kat setiap gambar dengan langkah-langkahnya sekali.
Penyediaan sup ayam & air rebusan nasi
Biasanya, nasi Arab dimakan dengan ayam dan juga sos yang dipanggil salatoh atau salsa. Berikut merupakan resipi menghasilkan ketiga-tiga menu tersebut.
Ok part ni paling penting untuk dapatkan rasa nasi Arab tu.
Air rebusan ayam

Ayam saya guna 3 whole leg
Bawang besar 1 biji (kalau besar guna separuh)
Tomato 1 biji
1 sk jintan manis
1 sk lada hitam
1 sk biji ketumbar
Buah pelaga 3 biji
1 kiub ayam
1/2 sk serbuk kunyit
1 sk rempah kurma
2 sudu minyak masak
Sedikit garam
Rebus sampai ayam masak. Air rebusan tadi digunakan untuk masak nasi. Dan selebihnya saya buat sup untuk makan dengan nasi. Sedap. Rasa sup berempah.
Nasi
Ni bahan-bahan tumis untuk nasi.
Bawang besar sebiji
Halia 1 inci
3 sekawan (kayu manis/bunga cengkih/bunga lawang)

Panaskan majerin/butter dan kalau nak sedap minyak sapi.
Masukkan bahan-bahan hiris dan 3 sekawan tadi. Tumis sampai garing ye.

Masukkan beras. Gaul bersama bahan tumis. Tumis sehingga garing. Baru nasi sedap. Beras basmathi rendam dulu 30 minit ye.

Air rebusan ayam tadi. Masukkan dalam periuk.

Beras dah siap macam ni. Kalau beras biasa sukatan macam biasa la yer. Tapi kalau basmathi saya guna 1 cup beras bersamaan 2 cup air.

Nasi dah pun siap. Bila nasi dah kering, tuang la pewarna. Minyak carotina ke (ni Mohd Radzi Azizi ajar). Tutup dulu. Lepas 10 minit baru boleh kacau nasi dan jangan lupa, daun ketumbar. Ni yang buat bau dia sedap.

Ayam panggang

Angkat ayam dari air rebusan. Saya perap guna bahan ni:
Serbuk cili
Serbuk kari
Sos tiram
Garam
Perasa
Madu/gula 1 sudu
Minyak masak 2 sudu
Perap kejap je sambil-sambil siapkan nasi. Lepas tu panggang.
Bakar pada suhu 150 api atas sahaja. 30minit. Nanti dah bakar 15minit. Keluarkan sekejap. Sapu lebihan bahan perap tadi. Bakar semula. Nanti ayam kilat dan cantik.

Salsa/sambal arab
Cili api
Cili besar
Tomato
Bawang putih
Daun ketumbar
Garam sedikit
Kisar semua bahan diatas dan perah sedikit jus lemon.
Salatoh
Tomato
Timun
Bawang besar
Potong kiub bahan-bahan diatas.
Pudina hiris (saya guna ketumbar. Benda takde)
Gaul semua bahan dalam 1 bekas. Letak sedikit gula dan garam. Perah sedikit lagi jus lemon. Siap!

Mudah kan resipi nasi Arab ni? Semua orang boleh buat sendiri menggunakan bahan yang sedia ada di dapur. Selamat mencuba!
Sumber: Nur Aisya via Masak Apa Hari Ni