Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pengasuh Indonesia Didakwa Cuai Jaga Kanak-Kanak Hingga Lebam Di Dahi

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Seorang pengasuh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan telah cuai menjaga seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan lebam di dahi kanan mangsa.

Nurul Fithroh Maulidiyah, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap kanak-kanak yang berusia setahun itu di sebuah rumah di Desa Pandan, Wangsa Maju di sini antara 1 tengah hari hingga 5 petang, pada 5 Sept lepas, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh  warganegara asing manakala peguam Nur Fazrin Ahmad memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga di kampung.

“Hari ini, dua penjamin warga tempatan telah hadir ke mahkamah untuk menjamin anak guam saya. Mereka adalah pasangan suami isteri yang merupakan kenalan kepada anak guam saya,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.