Hati siapa tak hancur apabila insan tercinta pergi dalam kemalangan sekelip mata. Apatah lagi apabila dua anak sebelumnya juga meninggal dunia kerana sebab yang serupa. Pasti sedih, remuk hati.
Namun bagi seorang lelaki bernama Mohammad, kehilangan isterinya pada 24 September baru-baru ini dihadapi dengan hati yang cekal. Malah, beliau juga sanggup memaafkan individu yang dipercayai terlibat dalam kemalangan tersebut yang merupakan seorang pemuda berusia 22 tahun.
Pertemuan menyentuh hati itu dikongsikan anak saudara arwah isterinya, Puan Siti Nabyelah Ithinin di laman Facebook miliknya semalam. Beliau turut menceritakan kembali kronologi kemalangan di Labuan itu kepada Siakap Keli.
“Ini ka yang melanggar tu?”
“Iya pakcik. Dia la yang terlanggar makcik”
“Bukan juga sengaja bah tu…” Seketika ibu saya mencelah.
Dengan tenang pakcik berkata,
“Ooh.. Iyalah. Apa boleh buat. Dia ada di sana. Kau pun ada di sana.”
Sebak rasa hati, betapa tabahnya hati pakcik menerima takdir. Sebak juga rasa hati, terlihat jelas betapa takut, menyesal, dan sedihnya anak muda ini. Bila diminta untuk cerita semula apa yang terjadi. Ambil masa yang lama untuk menenangkan diri.
Dengan suara terketar-ketar di ceritakan semula apa yang terjadi. Allahu.. Tak terbayang perasaan anak muda ini pada waktu dan ketika itu. Hingga ke hari ini masih trauma dirasa.
Kesimpulan ceritanya, bukan niatnya untuk lari selepas terlanggar. Cuma terlalu panik dan terlalu takut hingga otak tidak lagi dapat berfikiran waras.
Tertulis sudah takdir di dalam Qada’ Qadar-Nya sejak azali. Tiada dendam, tiada amarah. Namanya juga manusia, tidak terlepas dari silap dan salah. Apa yang pasti setiap ketentuan Allah itu pasti ada hikmahnya. Sabar dan Redha, itulah yang terbaik buat kita sebagai hamba di dunia.
“Pakcik.. saya minta maaf pakcik… “
Sayu sekali suaranya, air mata mengalir laju.
“Tidak apa, nak. Janganlah fikir-fikir lagi. Tidak apa..”
Di usap-usap lembut kepala anak muda itu.
Lalu kedua mereka pun menangis deras. Kami yang di sekeliling juga turut menangis simpati. Simpati dengan nasib yang menimpa kedua mereka.
Allahu.. Segera ku capai handphone untuk merakam detik memilukan ini.
Semoga Allah permudahkan segala urusan mereka berdua di dunia dan akhirat. Apa pun keputusan dari pihak polis, semoga tidaklah terlalu berat buat seorang abang yang berkerja keras menanggung adik-adiknya yang masih bersekolah (ibu ayah tidak ada sejak mereka kecil lagi).
Seorang abang yang menggalas sepenuhnya tanggungjawab seorang ibu dan ayah. Dialah ibu, dialah ayah, dialah abang. Allahu Allah.. remuk hati ini seremuk-remuknya.

Kongsi Puan Nabyelah, ibu saudaranya, Allahyarham Rosnah Abdullah pada ketika itu sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya sebelum terlibat kemalangan dipercayai akibat pemandu gagal mengelak mangsa.
Petang tu, arwah minta tolong kawan baik dia untuk hantar dan tolong cek kan kat mesin ATM sama ada dah masuk bantuan baitulmal atau belum. Kawan dia cekkan, belum lagi masuk. Jadi dia pun balik la.
Lepas kawan dia hantar balik rumah dalam jam 6 pm macam tu, tiba-tiba arwah pergi lagi rumah kawan dia tu. Tak pasti pula atas urusan apa.
Rumah kawan dia tu dekat ja dengan rumah arwah. Biasa jalan kaki ja dia. Tak jauh sangat pun. Dalam 100 m macam tu ja.
Tapi perlu menyeberang jalan besar. Jadi masa tu dia nak mnyebrang jalan tu la dia kena langgar.
Ikut cerita dari mulut budak tu, dia memang tak nampak langsung masa kejadian tu. Seolah-olah macam terhijab pndangan. Sebab masa tu dekat Maghrib dah.

Tambahnya, ibu dan bapa saudaranya itu sakit dan tidak dapat bekerja. Mereka berdua menampung hidup atas bantuan anak-anak saudara, adik-beradik, jiran dan badan kebajikan.
“Makcik pakcik saya ni sakit. Mak cik saya tak dapat kerja. Dulu dia tukang sapu, pakcik tukang kebun dekat sekolah yang sama.
“Tapi sebab makcik tu ada darah tinggi, jadi selalu pitam. Pakcik pula sakit perut, keluar masuk wad. Jadi dua-dua tak boleh kerja dah,” katanya.
Selalu ke tempat kejadian
Tambah Puan Nabyelah, bapa saudaranya itu kini sering lupa dan ke tempat kejadian untuk mencari isterinya.
Dulu pakcik tu masa sihat, dia bilal surau. Memang hari-hari azankan di surau. Tapi sejak sakit tak dapat la ke surau. Sekarang pula dia ada nyanyuk-nyanyuk.
Sampai sekarang dia selalu jalan kaki pergi tempat kejadian. Tempat makcik kena langgar. Dia cari makcik kat sana.
Dia jadi pelupa-pelupa tu mungkin sebab ubat-ubat la. Terlampau banyak ubat hospital ditelan.
Kongsinya, dua daripada tiga anak pakcik Mohammad sebelum ini meninggal dunia disebabkan kes yang serupa.
Anak dia (dengan isteri pertama) dua orang meninggal kes sama. Meninggal sebab kena langgar kereta juga.
Abang yang bertanggungjawab
Simpati melihat nasib pemuda yang tidak sengaja terlanggar ibu saudaranya, Puan Nabyelah turut berkongsi serba sedikit mengenai pemuda berkenaan.
Budak yang langgar tu pun mulia hatinya. Abang yang bertanggjawab.
Kerja mekanik. Tak pernah pun ambil cuti sebab perlu tanggung adik dia masih sekolah. Mak ayah tak ada dah sejak kecil lagi.

Sebab tu la saya kesian sangat dengan budak tu. Muda lagi. Adik dia pun ikut jumpa juga kelmarin. Nangis-nangis adik dia.
Jelasnya, pemuda itu sanggup berhenti belajar untuk menyara adik-adiknya.
Adik perempuan dua orang dia jaga. Seorang masih belajar di UMS. Seorang lagi tingkatan 4.
Dia ada seorang abang. Abang yang sulung kerja di Shah Alam. Yang langgar tu anak kedua. Abang dia pun muda lagi. Umur 25.
Bakal jalani pembedahan
Ujar Puan Nabyelah, pakcik Mohammad kini bakal menjalani pembedahan buah pinggang pada bulan ini. Oleh itu, beliau meminta orang ramai agar mendoakan bapa saudaranya.
Dulu pernah koma. Ikutkan plan 15hb Oktober ni pembedahan buah pinggang di Hospital Labuan.
Untuk makluman, pakcik pula bukan warganegara Malaysia. Jadi selama ini, kos ubatan dan hospital ditanggung oleh kebajikan Malaysia sebab arwah mak sedara saya pemegang kad OKU. Dia ada kcacatan anggota kaki kanan sejak lahir.
Semoga urusan pakcik Mohammad sekeluarga dan pemuda terlibat dipermudahkan di dunia dan akhirat. Dan semoga Allah menempatkan Allahyarham Rosnah binti Abdullah dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَها وَارْحَمْها وَعَافِها وَاعْفُ عَنْها
Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan maafkan kesalahannya.
Sumber: Siti Nabyelah Ithinin