Siakap Keli
anak kembar
Gambar: Suara Jogja/Google (Kanan)

15 Tahun Tunggu Zuriat, Wanita Sarat Hamil Kembar Menanti Hari Bersalin Dilapor Keguguran Selepas Jadi Mangsa Langgar

Sedih dan menyayat hati. Selepas dipercayai 15 tahun menunggu kelahiran cahaya mata, pasangan Munipah (48) dan Duri (55) terpaksa berputih mata apabila bayi kembar mereka maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Menurut Suara Jogja, pasangan yang bekerja sebagai pengutip sampah itu sering keluar seawal 3 hingga 5 pagi untuk mencari rezeki demi anak yang bakal lahir.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila pasangan itu telah ditimpa kemalangan semasa bekerja yang mengorbankan anak kecil dalam kandungan.

Pada sekitar 4 pagi hari kejadian, pasangan itu sedang berjalan bersama sambil membawa barangan yang telah dikutip. Duri dikatakan membawa beca manakala Munipah menuntun basikal sebelum kedua-duanya dilanggar sebuah kereta.

Hasil pelanggaran, Munipah dilaporkan terseret lima meter dan cedera parah di kepala manakala suaminya cedera pada bahagian kaki. Basikal yang dibawa juga terperosok di bawah kereta bersama barangan mereka yang berselerakan di atas jalan raya.

Akibatnya, bayi kembar mereka yang berusia 9 bulan turut terkorban.

Tiada wang untuk rawatan

Kongsi Duri, mereka juga tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung kos rawatan di hospital. Apatah lagi selepas kemalangan, pendapatannya berkurangan kerana perlu menjaga isteri yang sedang sakit.

Daripada pendapatan harian sekitar RM13 hingga RM19 sebelum kemalangan, lelaki itu kini hanya memperoleh RM5.60 hingga RM8.00 sehari.

“Ketika di hospital, saya cuma bawa Rp5,000 (bersamaan kira-kira RM1.40). Saya sangat lapar sekali dan ingin membeli isteri minuman, tetapi tidak boleh.

“Saya sempat ditanya doktor sama ada sudah makan. Saya jawab belum, lalu dia beri duit untuk makan,” katanya.

Selepas 10 hari menjalani rawatan, pasangan itu kemudiannya dibenarkan pulang. Kini mereka ditempatkan di asrama khas dan perlu menjalani pemeriksaan rutin di pusat kesihatan tempatan.

“Kurang tiga hari isteri saya melahirkan, namun tuhan berkehendak lain. Dua anak kembar lelaki saya meninggal dunia beberapa saat lepas kemalangan,” kata Duri.

Apa yang lebih menyakitkan, sehingga kini pelaku masih tidak dapat dikesan.

Duri dikatakan tidak melaporkan perkara itu kepada pihak polis. Apapun, dia percaya setiap perkara yang terjadi ada balasannya kelak, lapor Suara Jogja.

Sumber: Suara Jogja

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.