Siakap Keli
Gambar Via Bernama

COVID-19: Kluster Utama Berpunca Daripada Pengawal Keselamatan Warga Nepal – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes COVID-19 bagi Kluster Utama yang melibatkan sebuah pusat membeli-belah di daerah Petaling (One Utama) berpunca daripada seorang pengawal keselamatan iaitu lelaki warga Nepal berusia 28 tahun (kes ke-15023).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat hari ini, kluster tersebut mencatatkan keseluruhan kes sebanyak 132, termasuk 105 kes baharu hari ini.

“Pecahan bagi 132 kes positif dikesan dalam kluster ini adalah 87 pekerja keselamatan, 18 pekerja pembersihan, 16 pekerja di beberapa premis pusat membeli-belah tersebut, enam pengunjung dan lima ahli keluarga kes ke-12549.

“Sebelum ini KKM mengesyaki kes ke-12549 sebagai kes indeks, namun hasil siasatan lanjut mendapati gejala beliau bermula lebih lewat berbanding kes ke-15023,” katanya pada sidang media maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema sejak 22 Sept dan dikesan positif pada 8 Okt melalui saringan kontak rapat, serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Bagi pecahan jumlah keseluruhan kes bagi kluster itu, sebanyak 131 kes dilaporkan di Selangor serta satu kes dilaporkan di Melaka, melibatkan 107 bukan warganegara dan 25 warganegara Malaysia.

Sehingga hari ini, seramai 447 individu disaring, dengan 269 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan.

“Sehubungan itu, pusat membeli belah ini telah ditutup 11 Okt sehingga esok bagi proses nyah kuman dan pembersihan. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster ini masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story