Siakap Keli

Enam Banduan Positif COVID-19 Dari Blok Sama Dengan Tiga Banduan Yang Dijangkiti

NIBONG TEBAL: 15 Okt, enam lagi banduan yang disahkan positif COVID-19 di Penjara Seberang Perai, Jawi, di sini semalam, dikenal pasti tinggal dalam blok yang sama dengan tiga banduan yang sebelum ini turut disahkan positif jangkitan itu.

Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed berkata semua sembilan banduan lelaki berusia antara 34 hingga 56 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan kini sedang dirawat serta dipantau oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Enam banduan itu baru saja dimasukkan ke Penjara Seberang Perai, cuma mereka masuk awal sedikit daripada tiga banduan yang dijangkiti sebelum ini…setakat ini memang kami tidak tahu daripada mana semua banduan itu dijangkiti COVID-19.

“Pihak penjara telah mengambil tindakan segera mengasingkan mereka dengan banduan lain (yang baru masuk) kerana mereka ini ditempatkan dalam blok sistem dormitori yang boleh memuatkan 20 hingga 30 banduan dalam satu satu masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini seramai 240 banduan di bangunan blok yang sama dengan mereka yang positif COVID-19 itu telah menjalani ujian saringan dan pihaknya masih menunggu keputusan ujian itu.

Roslan berkata setakat ini, keadaan dalam penjara masih terkawal kerana semua banduan yang dijangkiti COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di blok berasingan dengan banduan lain.

Selain banduan, semua kakitangan penjara juga telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusan diperolehi setakat ini semuanya negatif.

“Manakala 2,200 banduan di blok lain iaitu mereka yang sudah lama ditempatkan di situ juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 secara berperingkat selepas ini sebagai langkah keselamatan awal agar tiada penularan wabak itu dalam kalangan mereka,” katanya.

Semalam, KKM memaklumkan terdapat enam kes baharu membabitkan Kluster Penjara Jawi menjadikan keseluruhan sebanyak sembilan kes.

Kluster Penjara Jawi dikesan selepas tiga banduan di situ dikesan positif COVID-19, Selasa lalu.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.