Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

40 Maut Dalam Nahas Dua Bas Di Tanzania

Azizah Najib
40 maut dua bas
Kredit: The Sun

40 Maut Dalam Nahas Dua Bas Di Tanzania

KILIMANJARO, 30 Jun — Sekurang-kurangnya 40 orang disahkan maut selepas dua buah bas bertembung sebelum terbakar di kawasan Sabasaba, sepanjang Lebuhraya Moshi-Tanga di wilayah Kilimanjaro, Tanzania, pada Sabtu petang, lapor the Sun.

Menurut laporan media tempatan, salah sebuah bas membawa penumpang yang dalam perjalanan menghadiri satu majlis perkahwinan.

Nahas berkenaan mengakibatkan puluhan penumpang terperangkap di dalam bas berkenaan yang marak terbakar ketika cuba menyelamatkan diri.

Beberapa mangsa dilaporkan masih belum dapat dikenal pasti berikutan tahap kecederaan melecur yang serius.

Sementara itu, seramai 30 lagi penumpang, dipercayai warga Tanzania dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Menerusi perkongsian imej memaparkan dua bas yang bertembung itu remuk di bahagian depan dan dilihat hangus akibat kejadian.

Pihak bomba berusaha membantu mangsa yang masih hidup. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi hantaran di platform X.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat handai mangsa. Semoga Tuhan memberikan kedamaian kepada roh mereka yang telah pergi dan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera. Semoga keluarga mereka diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi waktu sukar ini,” katanya.

Tragedi ini berlaku tidak lama selepas satu lagi insiden membabitkan bas yang membawa pelancong British di lebuh raya selatan Thailand.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa pelancong ke Pulau Koh Samui hilang kawalan dan terbalik, menyebabkan puluhan cedera.

Pada Mei lalu, sebuah bas pelancong turut terbabit dalam nahas selepas merempuh sebuah trak pikap dan terbakar berhampiran Taman Negara Yellowstone, Idaho.

Insiden berkenaan mengorbankan tujuh nyawa dengan rakaman ngeri memaparkan pasukan penyelamat bergelut memadamkan kebakaran di lebuh raya yang terkenal dengan gelaran ‘jalan maut’.

Sumber: The Sun

BACA: Mohd Shuhaily Sah Ditukar Ke AKPS, Berkuat Kuasa Esok

BACA: Agong Berkenan Terima Menghadap Ketua Polis Negara Baharu