PAHAT, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menanggung kos perubatan termasuk pembedahan plastik bagi dua beradik yatim piatu yang terselamat dalam kemalangan di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani, 1 Nov lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata saraan bulanan turut diberikan memandangkan kedua-dua mangsa menjadi yatim piatu susulan tragedi berkenaan.
Beliau berkata mangsa, Hasya Fahira Zulkifli, 11, kini dimasukkan semula ke hospital dan dijadualkan menjalani pembedahan plastik pada bahagian kaki manakala adiknya, Muhammad Adam Mohd Hardi, 8, sudah boleh berjalan namun memerlukan beberapa rawatan susulan.
“Bantuan saraan bulanan oleh MAINJ akan diberikan secara berterusan sehingga kedua-dua beradik itu menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setelah difahamkan bapa mereka ada mencarum.
“Selain MAINJ, kita juga dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menghulurkan bantuan,” katanya.
Mohd Fared ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat Hasya Fahira di wad Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini di samping meraikan ulang tahun kelahiran ke-11 kanak-kanak itu hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut bersedia menanggung perbelanjaan lain sekiranya diperlukan.
“Bantuan seperti ini bukan tertumpu kepada dua beradik ini sahaja, tetapi kepada semua rakyat Johor yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, dalam kemalangan kira-kira 12.30 tengah hari itu, ibu bapa dua beradik terbabit, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, dan Mohd Hardi Mohd Husin, 46, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap lori muatan tar yang terbabas akibat tayar pecah.
Allahyarham Mohd Hardi mengalami kecederaan pada kepala dan kedua-dua tangan selain melecur pada beberapa bahagian badan, manakala isterinya parah pada kepala dan organ dalaman serta melecur di beberapa anggota badan.

