Nahas melibatkan pesawat peribadi jenis Learjet 60 di Florida menggemparkan dunia apabila pesawat berkenaan terhempas dan meletup sehingga mengorbankan sembilan individu.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Austin ke Bahamas itu dilaporkan terhempas di sebuah jalan raya sebelum terbakar.

Tragedi tersebut turut mengundang rasa pilu ramai selepas rakaman detik-detik sebelum pesawat berkenaan terhempas tular di media sosial.
Dalam pada itu, identiti kesemua sembilan mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut telah dikenal pasti.
Berikut merupakan identiti mangsa nahas pesawat di Florida
Nahas melibatkan pesawat peribadi jenis Learjet 60 di Florida menggemparkan dunia apabila pesawat berkenaan terhempas dan :
Adam Robinson sekeluarga
Antara mangsa yang terkorban ialah usahawan teknologi dari Texas, Adam Robinson bersama isterinya, Helen Sharp serta dua anak mereka, Emma, 4, dan Charlie, 2.
Memetik laporan BBC, keluarga menyifatkan pasangan itu sebagai ibu bapa yang penyayang, manakala kedua-dua anak mereka merupakan penyeri kehidupan.
Menerusi profil LinkedIn miliknya, Robinson memperkenalkan dirinya sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RB2B dan Retention.com serta CEO Moltsets.
Beliau sebelum ini pernah bekerja di syarikat perkhidmatan kewangan global, Lehman Brothers dan kumpulan perbankan Barclays.

Rakan usahawan teknologi, Jesse Ouellette turut berkongsi ucapan penghormatan buat Robinson menerusi LinkedIn, termasuk mengenang jasa mendiang yang pernah membantunya ketika membangunkan syarikat sendiri.
“Dia menjadi seorang sahabat dan individu yang mempunyai pandangan sehaluan dengan saya mengenai cara membangunkan syarikat perisian.
“Walaupun kami boleh berbeza pendapat dalam hampir semua perkara, entah bagaimana selepas berbincang dengannya, anda akan lebih menyenanginya,” tulis Ouellette.
Sementara itu, Helen Sharp dilaporkan merupakan seorang seniman.
Bapanya, Dudley Sharp, memberitahu portal berita Florida, The Palm Beach Post bahawa berita mengenai kematian anak perempuan, menantu serta dua cucunya dalam nahas itu merupakan satu tamparan hebat buat keluarga.
Rachel Reed, Charmi Fehr dan Anita Maria Cetina
Tiga lagi mangsa yang turut berada dalam pesawat berkenaan ialah Rachel Reed, Charmi Fehr dan Anita Maria Cetina.
Reed dan Fehr digambarkan menerusi kenyataan bersama keluarga mangsa sebagai individu yang ceria dan gemar mengembara.
Bagaimanapun, hubungan sebenar mereka dengan Robinson dan Sharp masih belum dapat dipastikan.


Sementara itu, Cetina dikenang sebagai individu yang menjaga Emma dan Charlie dengan penuh kasih sayang serta dedikasi.
Menurut kenyataan tersebut, Cetina juga dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga berkenaan.
Jeff Gregory
Jeff Gregory, 55, dikenal pasti sebagai juruterbang pesawat yang terlibat dalam nahas tersebut.
Jurucakap East Coast Jets, sebuah syarikat penerbangan sewa khas yang pernah menjadi tempat Gregory bekerja, meluahkan rasa dukacita atas pemergiannya.
Dalam kenyataan kepada NBC Miami pada Isnin, syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya amat sedih selepas mengetahui Gregory merupakan antara individu yang terkorban dalam nahas berkenaan.
Nathalia Filgueiras
Media Amerika Syarikat mengenal pasti Nathalia Filgueiras, 20, sebagai pembantu juruterbang pesawat tersebut.
Difahamkan, Filgueiras memperoleh lesen juruterbang ketika baru berusia 17 tahun.
Ibunya, Camila Corteleti turut mengesahkan kepada media Amerika Syarikat bahawa anak perempuannya terkorban dalam nahas berkenaan.

Dalam satu temu bual bersama stesen berita tempatan yang bersekutu dengan CBS News pada 2023, Filgueiras pernah meluahkan rasa bangga selepas berjaya memperoleh lesen juruterbang ketika masih menuntut di sekolah menengah.
