Sembilan individu maut selepas sebuah pesawat peribadi jenis Learjet 60 terhempas di kawasan perumahan di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat, pada 1 November lalu.
Lebih mengejutkan, juruterbang pesawat berkenaan dilaporkan sempat memaklumkan kepada pengawal trafik udara mengenai keadaan ais, turbulens sederhana dan hujan ketika berada di udara sebelum pesawat itu mengalami penurunan tidak terkawal.

Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom, Texas itu dalam perjalanan menuju Lapangan Terbang North Eleuthera di Bahamas sebelum terhempas berhampiran Military Trail, Greenacres.
Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy mengesahkan kejadian itu menerusi satu hantaran di platform X, dengan memaklumkan kesemua sembilan individu yang berada di dalam pesawat berkenaan terkorban.
Menurut data penjejakan penerbangan Flightradar24, pesawat keluaran tahun 2004 itu mula mengalami penurunan ketika menghampiri kawasan barat daya Florida.
Rakaman komunikasi antara juruterbang dan pengawal trafik udara yang diteliti Flightradar24 menunjukkan kru pesawat melaporkan keadaan ais, turbulens sederhana serta hujan.
Juruterbang turut meminta kebenaran untuk menaikkan altitud penerbangan ke 37,000 kaki bagi mencari keadaan penerbangan yang lebih lancar.
Bagaimanapun, tidak lama selepas menerima kebenaran itu, kru dilaporkan memaklumkan bahawa pesawat mengalami penurunan yang tidak terkawal.
Seorang juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan dan melaporkan pesawat sedang menjunam pada kadar 10,000 kaki seminit sebelum kelajuan penurunan itu meningkat kepada lebih 20,000 kaki seminit.
Menurut Flightradar24, kadar penurunan menegak pesawat itu kemudiannya melebihi 32,000 kaki seminit.
Data terakhir menunjukkan pesawat berada pada altitud 8,750 kaki pada 17:49:22 UTC sebelum terhempas.
Keadaan hujan lebat dan ribut petir turut dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan ketika kejadian, namun pihak penyiasat masih belum menentukan sama ada faktor cuaca menyumbang kepada nahas berkenaan.
Insiden itu turut mencetuskan operasi kecemasan besar-besaran apabila kira-kira 600 penduduk dari sebuah komuniti perumahan berhampiran diarahkan berpindah bagi tujuan keselamatan.
Pesuruhjaya Daerah Palm Beach, Joel G. Flores berkata, keutamaan pihak berkuasa ketika itu adalah memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi nahas.
Pihak daerah turut menyediakan dua pusat perlindungan sementara dengan bantuan Palang Merah, manakala bas Palm Tran digunakan bagi membantu membawa penduduk yang terjejas.
Gabenor Florida, Ron DeSantis yang mengunjungi lokasi kejadian menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi besar.
Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) telah menghantar pasukan penyiasat ke lokasi bagi meneliti bangkai pesawat, data penerbangan, keadaan cuaca serta faktor yang membawa kepada penurunan terakhir pesawat.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengesahkan NTSB akan mengetuai siasatan berhubung kejadian itu.
Syarikat pengeluar pesawat berkenaan, Bombardier turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.
Setakat ini, identiti kesemua sembilan mangsa belum didedahkan kepada umum.

