Gambar: BERNAMA

Awas ‘Robocop’ Perhatikan Anda Di Stesen KTMB

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Mereka yang mengunjungi stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di ibu negara mungkin terkejut melihat kelibat seperti ‘adiwira Robocop’ berlegar-legar membuat rondaan di kawasan itu.

Kelibat itu sebenarnya merupakan anggota polis bantuan yang memakai topi keledar pintar yang mampu mengimbas suhu badan orang ramai secara terus di sekitar platform dan dalam tren dalam mengekang penularan COVID-19.

Polis bantuan KTMB, Siti Nabila Isnariah Mohd Jonib, 30, berkata bacaan suhu badan individu yang diimbas boleh dilihat menerusi cermin pelindung muka atau visor topi keledar itu daripada jarak dua hingga tiga meter.

Gambar: BERNAMA

“Saya ingat peranti seperti ini hanya wujud dalam filem fiksyen Hollywood, tapi rupanya ia praktikal dalam membantu melaksanakan saringan suhu, yang merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya kepada pemberita pada sesi demonstrasi dan taklimat kepada media di sini, hari ini.

Berkongsi pengalaman menggunakan topi keledar itu, pada awalnya, Siti Nabila Isnariah berkata ia menimbulkan rasa kurang selesa namun lama-kelamaan beliau mampu menyesuaikan diri dan semakin teruja menggunakannya.

Seorang lagi polis bantuan Muhd Amirul Shazlan Badarul Hisam, 26, berkata sepanjang memakai topi keledar itu beliau belum berpengalaman mengesan penumpang dengan suhu badan melebihi 38 darjah Celsius.

Gambar: BERNAMA

“Sebelum masuk ke stesen dan platform penumpang telah melalui saringan suhu badan menggunakan pengimbas suhu automatik.

“Penggunaan topi keledar pintar ini adalah penambahbaikan kepada SOP sedia dan diharap kaedah tambahan ini akan dapat meningkatkan keyakinan penumpang menggunakan perkhidmatan KTMB,” katanya.

Gambar: BERNAMA

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata penggunaan helmet  bernilai mencecah RM50,000 seunit itu sedang diuji untuk tempoh dua minggu bermula Isnin lalu.

Beliau berkata untuk permulaan hanya ada dua unit topi keledar pintar dan ia masih lagi dalam tempoh percubaan selama dua minggu bermula Isnin (12 Okt).

“Ia mempunyai keupayaan mengesan suhu dengan ketepatan 99.99 peratus. Penggunaan peranti ini mungkin akan diperluaskan ke stesen lain jika diperlukan,” katanya.

Gambar: BERNAMA
Gambar: BERNAMA
Gambar: BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Denin

Menulis untuk mendidik.

Editor: Fazidi

Tambah komen

Dari Wiser.my