Siakap Keli

Gadis Ini Gigih Jual ‘Choco Jar’ Demi Menyara Ibu Dan Abang Istimewa

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Melihat pada riak wajah gadis berusia 18 tahun ini sudah cukup untuk kita lihat betapa tabahnya dia menghadapi dugaan hidup. Lebih menyedihkan, gadis ini kehilangan ayahnya sejak 13 tahun lalu. Sebelum ini, ayahnyalah yang menjadi pendapatan mereka sekeluarga.

Tambahan pula, ibu dan abangnya merupakan Orang Kelainan Upaya Fizikal (OKU). Hidup dalam serba kekurangan tetapi dia tetap bersyukur dengan pemberian Allah kerana mendapatan tawaran sambung belajar hingga ke menara gading.

Perkongsian menarik ini daripada laman Facebook Kelab Kebajikan & Kesukarelawan Sosial (KELSS) yang berkunjung ke rumah mereka di Tanah Merah Kelantan untuk memberi sumbangan untuk keluarga kecil ini. Bukan itu sahaja, bagi insan yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini turut dialu-alukan.

“Kejayaan yang dikagumi…..”

Walaupun keluarganya dari kalangan asnaf dan orang kelainan upaya, namun Nik Noradila Mohd Rawi 18 tahun, tabah dengan dugaan hidup yang dilalui tanpa ayah yang telah pergi buat selamanya 13 tahun lalu. Ibunya Fah Sakinah 39 tahun dan abangnya Nik Khoidir 20, merupakan orang kelainan upaya (OKU Fizikal).

Turut tinggal bersama mereka ialah kakak Sakinah iaitu Fah Faridah ibu tunggal (kematian suami 3 tahun lalu) berusia 55 tahun juga orang kelainan upaya yang hanya mampu mengensot.

Keperluan harian mereka bergantung pada bantuan bulanan JKM yang diterima Sakinah dan Faridah sebanyak RM200 seorang manakala Khoidir RM250 sebulan.

Sesuatu yang kami amat kagumi adalah kejayaan beliau mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke menara gading iaitu di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Seri Iskandar, Perak.

“Saya sepatutnya lapor diri bulan ni ke sana, tapi ditangguh sebab wabak Covid-19 ni” – katanya kepada kru kami yang mengunjunginya petang tadi di Kg Salak, Belimbing dekat sini.

Noradila berkata dia tahu ibunya yang juga seorang ibu tunggal itu tidak mampu untuk menanggung kos sepanjang pengajiannya nanti menyebabkan beliau gigih menceburi bidang perniagaan secara atas talian termasuk ‘ jualan makanan ringan ‘chocojar’ bagi mencari pendapatan.

“Kalau dekat sekitar kampung ni, saya buat COD je” – kata anak bongsu dari dua beradik itu.

Ketika ditanya mengenai persediaan untuk menyambung pelajaran,beliau berkata setakat ini semua peralatan telah dibeli termasuk komputer riba menggunakan wang simpanan hasil jualan dan sumbangan dari beberapa pihak.

Menurut Noradila, dia bercadang untuk membeli pakaian baru menggantikan banyak yang telah lusuh dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh agar dapat membantu keluarganya suatu hari nanti.

Dalam kunjungan kru kami petang tadi, sedikit sumbangan kewangan dihulurkan untuk Noradila sebagai persediaan untuk membeli keperluannya nanti.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan untuk Noradila , boleh salurkan ke akaun bank miliknya;
BANK ISLAM
0305 4020 8239 62
Nik Noradila bt Mohd Wira

 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang