Satu insiden menyayat hati menimpa seorang bayi perempuan berusia 20 hari apabila dia maut dipercayai akibat tersedak susu.
Kejadian tersebut dialporkan berlaku di rumah sewa bapa angkat bayi berkenaan di Forest City, Tanjung Kupang, semalam seperti memetik laporan Sinar Harian.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu disedari pada jam 10 pagi oleh bapa angkatnya, 35, selepas mangsa didapati tidak sedarkan diri.
“Bapa angkat bayi berkenaan yang merupakan seorang mekanik kemudian menghubungi klinik di Tanjung Kupang untuk bantuan. Petugas klinik datang dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan kematian bayi tersebut.
“Bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan seperti memetik laporan Sinar Harian.
Susulan itu, bapa angkat bayi berkenaan membuat laporan polis berkenaan kejadian itu pada jam 3.07 petang semalam.
Difahamkan, bayi berkenaan dilahirkan di HSA pada 27 September lalu.
Kes kini sedang berada dalam siasatan pihak polis.
Sumber: Sinar Harian