Gambar Via Bernama

Pencemaran Bau Sungai Selangor: Polis Buka Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran bau di Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 1.2 juta akaun atau hampir lima juta pengguna di Lembah Klang, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata siasatan oleh pihak polis sedang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, siasatan masih di peringkat awal dan sampel air perlu diambil untuk dianalisis bagi mengetahui punca atau lokasi sebenar pencemaran itu berlaku.

“Proses ini memakan masa dan memerlukan bantuan pakar dan forensik. Kami sedang menyiasat dengan bantuan LUAS dan JAS untuk mengenal pasti mereka yang terlibat

“Tindakan tegas dari sudut undang-undang akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sumber air mentah pada pukul 2 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati bahan pelarut (solvent) merupakan bahan punca kepada pencemaran bau awal pagi tadi yang sama dengan kejadian pada awal September lepas, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan.

Jelasnya, beberapa kawasan kilang dikenal pasti menjadi punca pencemaran berkenaan dan tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang-kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.

Awal pagi semalam, sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat LRA Sungai Selangor itu dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah.

— BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Editor: Fazidi

Tambah komen