Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

Semua Pekerja Warga Asing Di Kawasan PKPB Perlu Jalani Ujian Swab Sekali Lagi – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 20 Okt – Semua pekerja warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikehendaki untuk menjalani ujian swab sekali lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kos ujian saringan tersebut adalah percuma dan akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Bagi pekerja-pekerja ini jika mereka mencarum PERKESO, ujian swab itu kosnya akan ditanggung oleh PERKESO.

“Saya difahamkan oleh Kementerian Sumber Manusia, semua pekerja di negara ini termasuk pekerja warga asing merupakan pencarum kepada PERKESO.

“Jadi PERKESO akan tanggung setiap kos ujian swab ini,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Keputusan tersebut adalah berikutan berlaku kes positif COVID-19 yang melibatkan pengawal keselamatan warga asing di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengimbas kembali, semua pekerja warga asing termasuk pengawal keselamatan dan pekerja tapak pembinaan diwajibkan oleh kerajaan untuk menjalani saringan tersebut ketika dalam tempoh PKP yang dilaksanakan sebelum ini.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'