Siakap Keli

ESKL Tangguh Perkenal E-Sukan Di Sekolah Menengah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Usaha Persatuan Sukan Elektronik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (ESKL) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memperkenalkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai kokurikulum di semua sekolah menengah di Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan ke tahun depan.

Ini susulan perbincangan di antara ESKL dan MSWP bersama Jabatan Pendidikan Wilayah dalam menentukan silibus e-sukan di sekolah kini terhenti, selain usaha mempromosikan sukan itu kini terbatas akibat pandemik COVID-19.

Presiden ESKL Hisham Darus berkata bentuk promosi dalam talian bukan kaedah terbaik bagi memperkenalkan e-sukan secara menyeluruh kepada pelajar, ibu bapa dan guru.

“Peringkat perbincangan kita setakat ini terhenti sebab COVID-19. Selepas selesai PKPB atau mungkin suku pertama 2021 kita akan sambung dan terus bergerak sebelum hari sukan di sekolah-sekolah berlangsung.

“Untuk kita anjurkan program kesedaran dan promosi di peringkat sekolah dalam talian tidak berapa sesuai kerana kita melihat bukan hanya pelajar, malah ibu bapa, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun nak tahu apa e-sukan dan manfaatnya,” katanya kepada Bernama.

Mengikut perancangan asal, ESKL dan MSWP menyasarkan misi memperkenalkan e-sukan di sekolah di Kuala Lumpur dapat dijayakan seawal bermula sesi persekolahan tahun ini.

Pelaksanaan itu adalah menerusi penubuhan kelab e-sukan dengan tujuan memberi pendedahan serta pemahaman kepada ibu bapa dan pelajar mengenai potensi sukan berasaskan permainan video itu.

Hisham berkata perbincangan mengenai silibus e-sukan di sekolah mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan ia dapat memberi keseimbangan kepada perkembangan pelajar.

“Bila nak tembusi sekolah kita tidak boleh sewenang-wenangnya nak promosikan sesuatu kerana bahagian silibus kokurikulum amat tegar. Kita kena ada sesuatu yang menepati kokurikulum semasa supaya tidak bertindih dengan yang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Hisham berkata permainan video berasaskan bola sepak – FIFA20 dan PES serta perlumbaan – Formula 1 merupakan dua genre utama yang akan dipromosikan di sekolah.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang