Berkat kesabaran dan kegigihan menjaga pemakanan serta bersenam selama lebih setahun, seorang wanita berjaya menurunkan berat badannya sehingga 48 kilogram.
Kongsi Isma Suria, beliau yang dahulunya memakai pakaian bersaiz 5XL sehingga 6XL kini sudah boleh memakai pakaian yang lebih kecil, bersaiz M atau L.
Kisah kejayaan beliau itu dikongsikan dalam group Diet Suku-suku Separuh beberapa hari lalu.
Alhamdulillah dari baju saiz 6XL atau 5XL, atas dasar semangat dah boleh bertukar ke saiz L atau M. Semua atas perubahan cara pengambilan makanan. Bukan mudah nak dapatkan kekuatan tu semua. Doakan saya terus kuat dapatkan berat ideal.
Kongsi Isma, beliau selalu mengambil oat dan melebihkan sayuran dalam menu seharian.
“Tips yang selalu saya buat, bila sarapan makan oat atau telur separuh masak atau buah-buahan. Tengah hari, nasi sedikit, lebihkan sayuran dan ayam atau ikan. Malam hanya minum air kosong atau pun buah-buahan,” katanya.
Isma juga turut melakukan senaman seperti tabata dan zumba selama 30 minit hingga satu jam ketika berkelapangan di samping kerap berbasikal atau memanjat bukit pada hujung minggu.
“Selalu hiking atau berbasikal bila hujung minggu. Kadang-kadang ikut kelas senaman 30 minit hingga satu jam lebih bila rajin.
“Mendaki dan berbasikal setiap kali pagi atau pun petang. Dalam 3 ke 4 jam sehari atau lebih. Yang itu selalu konsisten,” ujarnya.
Sumber: Isma Suria