Sebentar tadi media melaporkan insiden melibatkan kapal Dayang Topaz di Miri yang menyebabkan kematian salah seorang kru.
Siasatan awal mengesyaki kemalangan berpunca daripada cuaca buruk yang menyebabkan salah satu kabel sauh kapal tersebut putus hingga berlanggaran dengan platform pelantar minyak.
Rakaman detik cemas ketika kejadian telah dikongsikan BernamaTV, memaparkan keadaan ombak yang bergelora menghempas kapal tersebut.
Menurut APMM, keadaan laut dilaporkan bergelora dan paras ketinggian mencecah 3.5 hingga 4 meter.
Insiden tersebut membuatkan seramai 124 kru terjun ke dalam laut dan telah berjaya diselamatkan. Susulan insiden berkenaan, Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat, syarikat carigali minyak Petronas dan Shell, National Search Coordination Center Brunei dan Komuniti Nelayan Tempatan telah dikerah bagi misi menyelamat di lokasi kejadian.
Suasana perairan Miri ketika insiden Kapal Dayang Topaz mengalami kecemasan @BernamaTV pic.twitter.com/XfGwT7SLXA
— DaulTGM 🇲🇾 (@DaulTGM) October 27, 2020
Dalam kemaskini terbaru daripada halaman Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, mangsa-mangsa dilaporkan telah selamat tiba di Jeti Pelabuhan Miri. Kesemua yang selamat telah menjalani saringan Covid-19 seterusnya menerima rawatan susulan oleh petugas kesihatan.
Tambah kenyataan itu juga, setakat ini kru yang selamat tiba di Jeti adalah seramai 95 orang.
“Setakat ini kru selamat yang telah berada di Jeti seramai 95 orang manakala selebihnya masih berada di kapal-kapal lain dalam aturan merapat ke pelabuhan”