Dua Bot Berlanggar, 52 Penumpang Terjunam Ke Laut
Sebuah bot laju yang membawa pelancong dilaporkan karam selepas berlanggar dengan sebuah bot pukat tunda nelayan di perairan Kepulauan Phi-Phi, Thailand, awal pagi Ahad.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku berhampiran Pulau Koh Gai, di kawasan teluk berdekatan destinasi pelancongan popular Phuket.
Dalam kejadian mencemaskan itu, seramai 52 penumpang termasuk kru yang berada di atas bot pelancong Korawich Marine 888 terjatuh ke Laut Andaman selepas bot berkenaan terbalik sebelum tenggelam. Bahagian hadapan bot juga dilaporkan rosak teruk akibat pelanggaran tersebut.
Gambar: Thai Enquirer/XMenurut laporan awal, seorang wanita berusia 18 tahun dipercayai warga Rusia, disahkan meninggal dunia akibat insiden berkenaan.
Selain itu, sekitar 12 pelancong dilaporkan cedera manakala seorang mangsa wanita berada dalam keadaan kritikal dan telah dikejarkan ke hospital.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand memaklumkan bahawa bot pukat tunda nelayan Pichai Samut 1 yang terlibat dalam perlanggaran itu tidak mengalami kerosakan.
Susulan kejadian itu, operasi menyelamat berskala besar segera dilancarkan bagi membantu mangsa yang terlibat. Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan detik cemas apabila penumpang dan kru terpaksa bergelut untuk terus terapung di laut, sambil menjerit meminta pertolongan.
Saksi kejadian menggambarkan suasana panik apabila penumpang saling berpaut dan berusaha menyelamatkan ahli keluarga serta rakan-rakan.
BACA: 11 Stesen Minyak Meletup Di Thailand
Sumber: The Mirror, Metro UK