Merancang perjalanan menggunakan kapal terbang pastinya memerlukan persediaan rapi lebih-lebih lagi apabila tiket penerbangan sudah dibeli beberapa bulan lebih awal. Ada yang sudah menempah hotel, menyusun jadual percutian malah membuat bayaran untuk pengangkutan dan aktiviti di destinasi yang ingin dikunjungi.
Namun perancangan tersebut boleh berubah apabila menerima notifikasi daripada syarikat penerbangan memaklumkan bahawa jadual perjalanan mengalami gangguan.
Situasi seperti penerbangan dibatalkan, waktu berlepas ditunda atau jadual asal diubah mungkin menyebabkan penumpang terpaksa menyusun semula rancangan. Lebih membimbangkan apabila perubahan tersebut berlaku pada saat akhir sehingga menjejaskan urusan penting atau percutian yang sudah dirancang.
Perkara ini bukan isu kecil dalam industri penerbangan. Berdasarkan Laporan Pengguna Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi Januari hingga Jun 2025, sebanyak 851 aduan berkaitan pembatalan penerbangan direkodkan diikuti 612 aduan kelewatan penerbangan dan 459 aduan penjadualan semula.
Ketiga-tiga kategori tersebut membentuk sebahagian besar aduan berkaitan syarikat penerbangan dalam tempoh berkenaan.
Justeru penumpang perlu mengetahui hak masing-masing supaya tidak mudah terlepas pandang pilihan yang tersedia apabila berdepan gangguan penerbangan.
Flight dibatal atau ditunda? Ini hak penumpang di Malaysia
Di Malaysia, hak pengguna penerbangan dilindungi melalui Malaysian Aviation Consumer Protection Code 2016 (MACPC) yang dikawal selia oleh CAAM.
Berikut beberapa perkara penting yang perlu diketahui sekiranya penerbangan mengalami kelewatan, pembatalan atau perubahan jadual.
1. Flight lewat dua jam atau lebih, penumpang berhak mendapat makanan dan kemudahan komunikasi
Tidak semua kelewatan penerbangan berlaku dalam tempoh yang singkat. Ada kalanya penumpang terpaksa menunggu berjam-jam di lapangan terbang tanpa mengetahui waktu sebenar pesawat akan berlepas.
Bagaimanapun, sekiranya penerbangan mengalami kelewatan selama dua jam atau lebih, penumpang berhak menerima bantuan tertentu daripada syarikat penerbangan.
Antara kemudahan yang perlu disediakan termasuk:
Makanan dan minuman yang bersesuaian.
Kemudahan untuk membuat panggilan telefon.
Akses internet, jika tersedia.
Kemudahan ini bertujuan membantu penumpang sepanjang tempoh menunggu dan membolehkan mereka menghubungi keluarga atau pihak lain sekiranya perlu.
2. Flight lewat lima jam atau lebih, boleh dapat penginapan hotel
Bagaimana pula jika penerbangan mengalami kelewatan sehingga lima jam atau lebih?
Dalam keadaan ini, penumpang berhak menerima bantuan tambahan mengikut peraturan perlindungan pengguna penerbangan.
Antaranya termasuk makanan, kemudahan komunikasi, penginapan hotel sekiranya perlu bermalam serta pengangkutan antara lapangan terbang dengan hotel jika diperlukan.
Selain itu, penumpang juga mempunyai pilihan untuk tidak meneruskan perjalanan dan meminta bayaran balik penuh harga tiket termasuk cukai serta fi yang berkaitan.
Bayaran balik tersebut perlu dibuat melalui kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari.
Oleh itu, penumpang tidak seharusnya menganggap mereka perlu menunggu tanpa sebarang bantuan apabila penerbangan mengalami kelewatan yang panjang.
3. Flight batal, penumpang boleh pilih refund atau penerbangan alternatif
Ini antara hak paling penting yang perlu diketahui oleh setiap penumpang.
Sekiranya syarikat penerbangan membatalkan sesuatu penerbangan, penumpang mempunyai pilihan untuk:
Mendapatkan bayaran balik penuh harga tiket termasuk cukai dan fi melalui kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari; atau
Memilih penerbangan alternatif ke destinasi akhir dalam keadaan pengangkutan yang setanding tanpa kos tambahan.
Sebagai contoh, seseorang sudah membeli tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok untuk bercuti bersama keluarga. Namun, beberapa hari sebelum tarikh perjalanan, syarikat penerbangan memaklumkan bahawa penerbangan tersebut dibatalkan.
Dalam keadaan ini, penumpang boleh memilih sama ada menerima bayaran balik penuh atau menggunakan pilihan penerbangan alternatif yang ditawarkan.
Perlu diingat, penumpang tidak semestinya perlu menerima baucar perjalanan sekiranya mereka memilih bayaran balik melalui kaedah pembayaran asal.
4. Jadual penerbangan berubah tiga jam atau lebih, boleh minta refund
Selain pembatalan dan kelewatan, perubahan jadual penerbangan juga boleh menimbulkan masalah kepada penumpang.
Contohnya, penerbangan yang sepatutnya berlepas pada pukul 9 pagi tiba-tiba ditukar kepada pukul 1 petang.
Perubahan selama empat jam mungkin menyebabkan penumpang terlepas penerbangan sambungan, urusan kerja atau tempahan pengangkutan yang sudah dibuat lebih awal.
Menurut panduan CAAM, sekiranya waktu penerbangan dijadualkan semula sebanyak tiga jam atau lebih, penumpang berhak memilih penerbangan alternatif ke destinasi akhir dalam keadaan pengangkutan yang setanding.
Jika tidak mahu meneruskan perjalanan, mereka juga boleh meminta bayaran balik penuh termasuk cukai dan fi berkaitan dalam tempoh 30 hari melalui kaedah pembayaran asal.
Bagi perubahan jadual yang dirancang, syarikat penerbangan perlu memaklumkan penumpang mengikut ketetapan CAAM. Peraturan turut menetapkan pemberitahuan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal bagi perubahan waktu berlepas, kecuali dalam keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
5. Bagasi hilang, rosak atau lambat sampai, boleh buat tuntutan
Gangguan perjalanan bukan hanya melibatkan jadual penerbangan. Masalah bagasi juga boleh menjejaskan pengalaman penumpang terutamanya apabila tiba di destinasi tetapi beg yang didaftarkan tidak muncul di kawasan tuntutan bagasi.
Sekiranya bagasi tidak tiba bersama penerbangan, penumpang disarankan membuat laporan kepada pihak pengendali bagasi atau kaunter syarikat penerbangan di lapangan terbang.
Jangan terus meninggalkan kawasan tuntutan bagasi tanpa mendapatkan laporan rasmi berkaitan masalah tersebut.
Menurut panduan CAAM, penumpang boleh membuat tuntutan bagi bagasi yang hilang, rosak atau lewat diterima tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
Simpan resit pembelian barangan keperluan atau bukti nilai barangan yang berkaitan kerana dokumen tersebut mungkin diperlukan untuk menyokong tuntutan.
Apa perlu dibuat jika flight batal atau ditunda?
Selain mengetahui hak sebagai penumpang, tindakan yang diambil selepas menerima notifikasi gangguan penerbangan juga penting.
Berikut beberapa langkah yang boleh dilakukan:
1. Semak notifikasi daripada syarikat penerbangan
Sebaik menerima mesej atau e-mel mengenai perubahan jadual, semak maklumat yang diberikan oleh syarikat penerbangan.
Pastikan anda mengetahui sama ada penerbangan dibatalkan, ditunda atau dijadualkan semula. Periksa juga waktu berlepas baharu, pilihan penerbangan alternatif dan arahan yang perlu diikuti.
2. Hubungi syarikat penerbangan untuk mendapatkan penjelasan
Jangan membuat andaian sendiri sekiranya menerima notifikasi pembatalan atau perubahan jadual. Hubungi syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan berkenaan untuk mendapatkan penjelasan serta mengetahui pilihan yang tersedia.
Jika bercadang meminta bayaran balik, nyatakan pilihan tersebut dengan jelas dan simpan rekod komunikasi sebagai rujukan.
3. Simpan semua bukti berkaitan penerbangan
Dokumen dan bukti komunikasi boleh membantu sekiranya berlaku pertikaian atau masalah tuntutan pada kemudian hari.
Antara bahan yang wajar disimpan termasuk:
Salinan tiket penerbangan dan nombor tempahan.
Pas masuk pesawat atau boarding pass.
E-mel dan notifikasi perubahan jadual.
Bukti pembayaran tiket.
Resit perbelanjaan berkaitan, jika ada.
Rekod perbualan dengan pihak syarikat penerbangan.
4. Buat aduan kepada CAAM jika masalah tidak diselesaikan
Sekiranya syarikat penerbangan gagal memberikan penyelesaian yang sewajarnya, penumpang boleh mengemukakan aduan kepada CAAM melalui saluran FlySmart.
Bagaimanapun, pengguna disarankan mengemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu sebelum membawa perkara tersebut kepada CAAM.
Sediakan maklumat penerbangan, tarikh perjalanan, nombor penerbangan, bukti tempahan serta rekod komunikasi bagi membantu proses semakan.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengemukakan aduan melalui laman rasmi CAAM FlySmart.
Perkara penting yang penumpang perlu tahu sebelum membuat tuntutan
Walaupun penumpang mempunyai perlindungan tertentu, beberapa perkara perlu difahami sebelum mengemukakan tuntutan.
Pertama, bayaran balik tiket tidak bermaksud semua kerugian perjalanan turut ditanggung. Contohnya, kos hotel atau aktiviti pelancongan yang terlepas akibat pembatalan penerbangan tidak semestinya dibayar oleh syarikat penerbangan.
Kedua, bagi tiket transit yang ditempah secara berasingan, syarikat penerbangan pertama lazimnya tidak bertanggungjawab terhadap kos akibat terlepas penerbangan kedua. Situasinya mungkin berbeza jika keseluruhan perjalanan berada dalam satu tempahan.
Ketiga, gangguan akibat cuaca buruk atau faktor keselamatan tidak menghapuskan semua hak penumpang. Pilihan seperti bayaran balik masih boleh terpakai tetapi tidak bermaksud semua kerugian sampingan wajib ditanggung oleh syarikat penerbangan.
Justeru, semak pilihan yang ditawarkan dan syarat perlindungan pengguna penerbangan sebelum membuat keputusan.
Secara keseluruhannya, gangguan penerbangan boleh berlaku atas pelbagai faktor dan kadangkala berada di luar kawalan penumpang. Namun, keadaan tersebut tidak bermakna pengguna perlu menanggung segala kesulitan tanpa mengetahui hak yang tersedia.
Sama ada penerbangan dibatalkan, ditunda atau mengalami perubahan jadual, penumpang wajar memahami pilihan yang boleh dibuat termasuk mendapatkan bantuan, memilih penerbangan alternatif atau memohon bayaran balik.
Paling penting, jangan terburu-buru menerima sebarang tawaran tanpa memahami syaratnya. Simpan semua dokumen berkaitan dan dapatkan penjelasan daripada syarikat penerbangan supaya urusan perjalanan dapat diselesaikan dengan lebih teratur.

