Hak untuk memohon pengampunan bukan keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua individu tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian ketika menjawab dakwaan wujud layanan dua darjat berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, setiap individu mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan pengampunan, sama ada golongan berpendapatan rendah mahupun mereka yang mempunyai kedudukan tinggi.
“Orang itu berhak untuk mengangkat atau memohon pengampunan. Itu hak semua orang. Orang kaya, orang miskin, orang kecil, orang besar. Itu undang-undang sebut begitu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjelaskan, proses berkenaan melibatkan tiga peringkat utama, iaitu hak individu mengemukakan permohonan, pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan dan pelaksanaan keputusan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Penjara.
Katanya, kuasa untuk mempertimbangkan serta memberikan pengampunan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, KDN tidak mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan berhubung permohonan pengampunan kerana tanggungjawab kementerian hanya bermula selepas keputusan dibuat.
“Tapi kalau sudah dapat keputusan pengampunan, menjadi tanggungjawab kami untuk pastikan arahan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara itu mempunyai asas undang-undang dan prosedur yang jelas,” ujarnya.
Mengulas mengenai persepsi masyarakat berhubung dakwaan layanan berbeza terhadap bekas pemimpin itu, Saifuddin berkata pihaknya tidak dapat menghalang tanggapan sedemikian daripada timbul.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penjelasan mengenai proses serta bidang kuasa setiap pihak perlu difahami bagi memastikan pelaksanaan sesuatu keputusan dibuat mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang membangkitkan kemungkinan wujud persepsi hukuman dua darjat susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

