Bayaran pencen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihentikan susulan beliau dituduh, disabit kesalahan dan menjalani hukuman.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Najib bagaimanapun masih lagi menikmati dari segi kemudahan lain.
Pencen Najib Dihentikan
“Buat masa sekarang, saya boleh sahkan bahawa bayaran pencen itu dihentikan.
“Kemudahan lain, mengikut Perlembagaan Persekutuan, mengikut pekeliling Jemaah Menteri dan mengikut Akta Saraan Parlimen, masih lagi dapat,” katanya sewaktu sidang Parlimen pada hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berhubung layanan dua darjat kepada prospek Jabatan Penjara dan kos tambahan pelaksanaan tahanan rumah.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata terdapat tiga pegawai penjara ditempatkan di kediaman Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur berhubung tahanannya.
“Jadi di rumah tiga orang satu syif. Kita juga ada polis mengawasi secara omnipresent dan secara statik.
“Yang itu, kita cuma atur tugas sahajalah. Kalau dulu dia bertugas di Kajang, sekarang dia bertugas di situ.
“Jadi, tak ada kos tambahan. Adapun kehidupan di rumah, saya tak boleh nak ulas dulu buat masa ini, baru dua, tiga hari,” ujarnya.
Terdahulu, mantan perdana menteri itu diperintah menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Ia selepas Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah pelepasan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO itu.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu dan mendapatkan perintah pelepasan baharu.
