Lebih 600 haiwan hidup termasuk tarantula, lipan, kala jengking dan cicak ditemui di dalam bagasi dua penumpang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez, Lima, Peru, baru baru ini.
Memetik laporan Metro.co, pegawai kastam menemui sebanyak 387 ekor labah-labah tarantula daripada pelbagai spesies di dalam beg milik kedua dua penumpang berkenaan.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan 166 ekor lipan, 112 ekor kala jengking dan tujuh ekor cicak yang kesemuanya masih hidup. Selain itu, enam ekor semut yang telah mati turut ditemui dalam keadaan dibalut menggunakan kertas basah.
Haiwan berkenaan dipercayai dikumpulkan oleh kedua dua suspek dari beberapa lokasi di Peru, termasuk Madre de Dios, Loreto dan Junín yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti.
Lebih mengejutkan, beberapa variasi spesimen yang ditemukan dipercayai merupakan spesies baharu kepada ahli sains, manakala salah satu daripadanya dikategorikan sebagai haiwan terancam dalam senarai hidupan liar yang dilindungi.
Kesemua spesimen itu disimpan di dalam beg plastik berzip untuk dihantar ke China, namun berjaya dipintas pegawai kastam sebelum meninggalkan ibu negara Peru.
Susulan penemuan itu, kedua dua warga China berkenaan ditahan oleh Polis Kebangsaan Peru dan berdepan tindakan undang undang oleh Pejabat Pendakwa Raya Alam Sekitar Khusus.
Untuk rekod, pengangkutan dan pengeksportan hidupan liar tanpa permit sah di Peru boleh dikenakan denda sehingga 27.5 juta soles (kira kira RM33.8 juta).
Dalam perkembangan berkaitan, pada 4 November lalu, dua penumpang warga Jerman dilaporkan cuba menyeludup sebanyak 10,000 ekor tarantula keluar dari lapangan terbang sama dengan menyembunyikannya di dalam stoking.

