Sebuah kapal tangki telah melanggar kapal persiaran yang sedang berlabuh di New Orleans, Amerika Syarikat pada Jumaat, menyebabkan kapal persiaran itu terbalik ke sisi.
Bagaimanapun, kesemua kira-kira 180 orang yang berada di atas kapal berjaya dikenal pasti dan disahkan selamat, menurut pihak berkuasa.
Memetik AFP, kapal persiaran American Heritage, yang dikendalikan oleh American Cruise Lines, telah berlabuh di Sungai Mississippi selama kira-kira dua jam sebelum dilanggar oleh kapal tangki Atlantic Asphalt.
Kapal persiaran terbalik
Walaupun kejadian itu berlaku ketika para penumpang sedang turun dari kapal, sekitar jam 12.30 tengah hari, tiada kematian dilaporkan.
“Ini satu keajaiban. Ia benar-benar satu keajaiban di Sungai Mississippi,” kata Gabenor Louisiana, Jeff Landry, kepada para wartawan.
Seramai 32 orang telah dibawa ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Datuk Bandar New Orleans, Helena Moreno dalam satu sidang media, tiada seorang pun mengalami kecederaan kritikal.
Beliau turut memaklumkan bahawa dua daripada mereka yang dimasukkan ke hospital ialah anggota polis yang membantu dalam operasi pemindahan penumpang.
Moreno menganggarkan jumlah keseluruhan individu ya

ng berada di atas kapal persiaran itu adalah antara 180 hingga 190 orang.
American Cruise Lines mengesahkan kejadian tersebut dalam satu kenyataan dan berkata bahawa para penumpang dan anak kapal telah dipindahkan, dan mereka sangat prihatin terhadap keselamatan semua pihak yang terlibat.
“Kami sedang memastikan semua individu yang berada di atas kapal ditempatkan di hotel dan mendapat segala keperluan yang diperlukan.” kata syarikat itu dalam satu kenyataan susulan.
Punca pelanggaran masih dalam siasatan
Punca kapal tangki tersebut melanggar kapal persiaran itu masih belum diketahui.
Kapal persiaran berkenaan dilaporkan berlabuh kira-kira dua jam sebelum kejadian berlaku.
Menurut Moreno, pasukan penyelamat telah memindahkan kira-kira 87 orang dari kapal persiaran itu sebelum kapal tersebut mula terbalik ke sisi.
“Kami mengesahkan bahawa tiada seorang pun dilaporkan hilang atau belum dikenal pasti keberadaannya,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut mengucapkan terima kasih kepada Landry atas kepimpinan cemerlangnya sepanjang tempoh yang amat mencemaskan ini menerusi satu hantaran di platform Truth Social miliknya.
Sungai Mississippi di kawasan kejadian telah ditutup sementara daripada sebarang pergerakan kapal.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (National Transportation Safety Board, NTSB) telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca perlanggaran tersebut.

