Nyaris Maut, Siapa Sangka Teknik Detective Conan Bantu Lelaki Selamatkan Diri Dari Kereta Tenggelam
Pelbagai perkara tidak dijangka boleh berlaku ketika berada di jalan raya, termasuk kemalangan yang boleh mengancam nyawa.
Situasi menjadi lebih cemas apabila sesebuah kenderaan terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai atau laut, sekali gus menyebabkan pemandu atau penumpang terperangkap dan tidak dapat keluar.
Sesiapa pun akan panik bila berada dalam keadaan ini dan akan berusaha untuk keluar dari kenderaan.
Itu yang dialami oleh seorang lelaki di Jepun baru-baru ini apabila keretanya terjunam di dalam sungai.
Namun, salah satu adegan di dalam siri animasi Detective Conan telah 'menyelamatkannya'.
Menerusi perkongsian @nozinozi053 di laman X, dia meluahkan rasa syukur dan terhutang budi kepada pencipta animasi itu kerana dia menggunakan teknik menyelamatkan diri seperti yang ditunjukkan dalam siri terbabit.
Keretanya telah terbabas ke dalam sungai selepas berlanggar dengan kenderaan lain.

Menurutnya, pemandu kenderaan itu sedang mengundur berhampiran kawasan tanah perkuburan sebelum tiba-tiba bergerak ke hadapan ketika dia cuba melintas, lalu menyebabkan kedua-dua kenderaan berlanggar.
Ketika kenderaannya tenggelam, lelaki itu pada mulanya menyangka bahawa dia akan menemui ajal.
Bagaimanapun, babak daripada siri animasi Detective Conan tiba-tiba terlintas dalam fikirannya.
“Dalam tempoh kira-kira 20 saat pertama, saya benar-benar menyangka akan mati.
“Namun, secara tiba-tiba babak ini terlintas dalam fikiran saya dan akhirnya saya berjaya menyelamatkan diri.
“Saya benar-benar menghargai jasa pencipta Conan, saya tidak mampu membalasnya,” tulisnya.
Untuk pengetahuan, babak tersebut dipaparkan dalam episod 1078 bertajuk The Black Organization’s Scheme (Landing) yang mula ditayangkan pada 1 April 2023.
Dalam episod berkenaan, ejen FBI, Andre Camel memandu keretanya ke dalam laut ketika dikejar oleh organisasi Black Organization.
Ketika terperangkap di dalam air, Camel mendapati pintu keretanya tidak dapat dibuka akibat tekanan air dari luar.
Conan kemudian mengarahkan Camel supaya bernafas menggunakan ruang udara yang terperangkap berhampiran bumbung kereta sementara menunggu kenderaan itu dipenuhi air.
Apabila paras air di dalam kereta meningkat sehingga tekanan di dalam dan di luar kenderaan menjadi seimbang, Camel akhirnya berjaya membuka pintu kereta dan menyelamatkan diri.
