Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Satu filem animasi China dengan bajet rendah telah mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam, sekali gus mengejutkan penonton dan pemerhati industri selepas filem itu tular di media sosial.
Memetik laporan Global Times, filem animasi berjudul "Niu Lai" yang menampilkan reka bentuk watak ringkas serta jalan cerita abstrak mula ditayangkan di pawagam China pada 5 Ogos lalu.
Dalam tempoh sembilan hari tayangan, filem itu hanya mengutip kira-kira 3,400 yuan (RM2,054) pada hari pertama tayangan dan 7,169 yuan (RM4,334) pada hari kesembilan.
Nasib kutipan filem berkenaan bagaimanapun berubah selepas angka kutipan yang diraih dalam tempoh sembilan hari itu tular dan menjadi topik bualan di media sosial.
Perbincangan awam tersebut kemudian menjurus kepada kualiti produksi filem berkenaan yang dianggap sangat sederhana, selain ia dihasilkan oleh dua invididu sahaja.
Malah di media sosial, filem tersebut dilabel sebagai "filem pawagam paling asas", "bencana tahap teruk" dan "lebih teruk daripada animasi dijana AI".
Terdapat juga warga maya mengaku "sukar percaya" Niu Lai merupakan filem animasi China yang ditayangkan pada 2026, manakala sebahagian yang lain berkata mahu menontonnya sekadar untuk mengetahui sejauh mana "teruknya" filem tersebut.
Tajuk filem itu juga menjadi bahan gurauan dalam kalangan pengguna media sosial kerana "Niu Lai" bermaksud "lembu jantan datang" dalam bahasa Cina.
Pengguna berseloroh kononnya pelabur saham kini berduyun-duyun ke pawagam selepas sekian lama menantikan kedatangan "bull market".
Populariti mengejut Niu Lai turut mencetuskan perbandingan lucu dengan filem The Odyssey arahan Christopher Nolan, yang mula ditayangkan di China pada 14 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tumpuan yang diberikan sebenarnya turut menarik perhatian orang awam untuk hadir menonton filem berkenaan.
Hasilnya, kutipan filem Niu Lai meningkat secara mendadak dan kini sudah melepasi 2.5 juta yuan (RM1.51 juta) walaupun tanpa sokongan dari mana-mana pihak atau menampilkan barisan pelakon terkenal.
Sementara itu, akaun rasmi Niu Lai di Sina Weibo turut mengakui bahawa filem berkenaan masih mempunyai banyak kekurangan dan belum mencapai standard biasa bagi filem animasi yang ditayangkan di pawagam.
Namun, mereka turut berterima kasih atas sambutan positif yang diterma serta mengakui kritikan daripada penonton sebagai teguran yang perlu diterima secara terbuka untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
"Niu Lai mendapat perhatian penonton kerana rasa ingin tahu dan fenomena viral di media sosial. Dalam erti kata lain, ada yang sanggup membayar untuk menjadi sebahagian daripada trend," kata Zhang Peng, penyelidik budaya dan profesor madya di Nanjing Normal University.
Menurutnya, rasa ingin tahu sememangnya mampu menarik minat penonton, namun populariti yang didorong media sosial juga boleh menjadi "gelembung" yang terbentuk semata-mata kerana jumlah trafik.
“Apabila pawagam menambah tayangan Niu Lai, mereka mungkin kelihatan pantas bertindak balas terhadap permintaan pasaran. Namun, pada hakikatnya, keputusan itu lebih dipengaruhi fenomena tular dalam talian berbanding kualiti filem itu sendiri,” katanya.
Menurut Zhang, sambutan menggalakkan terhadap The Odyssey serta jumlah penonton yang tinggi di pawagam China membuktikan bahawa kandungan berkualiti, ditambah dengan pengalaman menonton yang unik dan sukar ditiru, masih menjadi asas utama industri perfileman.
Sebaliknya, fenomena Niu Lai wajar dijadikan peringatan bahawa strategi pemasaran berasaskan rasa ingin tahu dan populariti sementara tidak seharusnya dianggap sebagai formula yang boleh diulang untuk menghasilkan kejayaan sama.
“Bergantung kepada pendekatan seperti ini tidak banyak memberi manfaat kepada perkembangan jangka panjang industri filem,” katanya.
Menurut Zhang, populariti yang meledak dalam tempoh singkat tidak boleh menggantikan asas kreativiti yang kukuh.
“Kualiti kandungan tetap menjadi nilai utama yang mampu memastikan industri perfileman terus bertahan dalam jangka panjang,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan