Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Doktor Keluarkan 1kg Paku Dari Perut Lelaki

1kg Paku Dari Perut Lelaki
Kredit: MSNews

Seorang lelaki di China terpaksa menjalani prosedur mengeluarkan 1kg batang paku, syiling, skru dan magnet dari perut selepas doktor menemui sejumlah besar objek logam di dalam abdomennya.

Memetik laporan Global Times, kes ini telah dikongsikan oleh ketua doktor Jabatan Pembedahan Hepatobiliari dan Pankreas, Hospital Rakyat Ketiga Wilayah Yunnan, Dr Li Wei pada 9 Ogos lalu.

Keluarga lelaki berusia 36 tahun itu telah membawanya ke sebuah hospital tempatan untuk pemeriksaan lanjut selepas dia mengalami muntah berterusan dan sakit perut berterusan.

Doktor Keluarkan 1kg Paku Dari Perut Lelaki

Hasil imbasan mendapati terdapat sejumlah besar objek logam yang berkumpul menjadi ketulan dalam abdomen lelaki berkenaan sehingga menyebabkan perutnya mengembang dan jatuh ke bawah.

Susulan itu, lelaki berkenaan telah menjalani pembedahan yang berlangsung hampir tiga jam dan doktor berjaya mengeluarkan 180 paku dan objek asing, termasuk sebatang paku dengan panjang hampir 10 sentimeter.

Sementara itu, Dr Li turut memaklumkan keadaan perut lelaki tersebut didapati dipenuhi ulser dan hakisan namun tiada paku yang menembusi dinding perut atau masuk ke bahagian usus.

Ujarnya, magnet yang terdapat di dalam perutnya dipercayai menyebabkan paku-paku tersebut melekat dan bergumpal antara satu sama lain, malah dipercayai sebahagian paku turut menjadi bermagnet.

Buat masa sekarang, lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan baik selepas menjalani pembedahan.

Dalam pada itu, keluarga lelaki tersebut memaklumkan dia mempunyai sejarah masalah kesihatan mental, namun mereka tidak mengetahui punca lelaki berkenaan menelan begitu banyak paku.

Dr Li menasihatkan orang ramai untuk tidak menganggap objek kecil yang tertelan akan keluar sendiri daripada tubuh badan secara semula jadi.

Menurutnya, objek logam atau tajam boleh tersangkut pada bahagian sempit saluran pencernaan sebelum menyebabkan kecederaan atau menembusi organ.

Keadaan itu boleh mencetuskan peritonitis atau keradangan serius pada lapisan rongga abdomen yang berpotensi mengancam nyawa.

Intipati
  • Lelaki berusia 36 tahun di China mengalami muntah dan sakit perut berterusan.
  • Pembedahan hampir tiga jam mengeluarkan 180 paku dan objek asing daripada perutnya.
  • Doktor berkata magnet dipercayai menyebabkan paku melekat dan bergumpal dalam perut lelaki itu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan