Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebanyak 13 bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dikesan dalam Operasi Banteras Aedes Tapak Binaan di dua lokasi di Mont Kiara dan Jalan Gombak, baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 13 Ogos lalu itu bertujuan mengesan serta menghapuskan lokasi berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus mengurangkan risiko penularan demam denggi dalam kalangan warga kota.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 13 bekas berkenaan positif dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Susulan penemuan itu, sebanyak 13 notis pungutan jentik-jentik nyamuk dikeluarkan, selain satu notis penutupan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.
DBKL turut mengeluarkan satu notis arahan pembersihan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap pihak berkaitan.
Dalam operasi sama, taklimat ringkas turut diberikan kepada pegawai keselamatan di kedua-dua tapak binaan mengenai langkah kawalan dan pencegahan denggi.
DBKL berkata, pemantauan secara berkala akan diteruskan bagi memastikan tapak binaan berada dalam keadaan bersih serta tidak menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
“Langkah itu penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota terus terpelihara,” ujarnya.
Sehubungan itu, DBKL menyeru semua pihak supaya memainkan peranan dalam membendung penularan denggi dengan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih serta menghapuskan sebarang bekas atau lokasi yang berpotensi menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan