Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

'Jalanan Mengajar Saya Erti Menjadi Doktor Sebenar' - Bekas Doktor Tentera Pilih Lorong Chow Kit Demi Mengembalikan Harapan

JALANAN
Kredit: Perkongsian Dr Jalanan bersama Siakap Keli

Daripada berkhidmat di medan ketenteraan kepada merawat gelandangan di lorong-lorong ibu kota, Dr Jalanan membuktikan bahawa seorang doktor bukan sekadar menyembuhkan penyakit, tetapi turut mengubati hati yang terluka.

Di sebalik hiruk-pikuk kota raya, masih ada insan yang terlupa daripada pandangan masyarakat. Ada yang hidup bertemankan kaki lima, ada yang bertarung dengan penyakit kronik tanpa rawatan, malah ada yang hanya mendambakan seseorang untuk mendengar kisah hidup mereka.

Bagi Mejar (Mej) Dr Ali, setiap malam di jalanan bukan sekadar misi memberikan ubat, sebaliknya perjalanan mencari semula nilai kemanusiaan yang sering terlepas daripada perhatian.

Dalam satu panggilan khas bersama SiakapKeli baru-baru ini, beliau berkata pengalaman turun ke jalanan telah mengubah cara beliau melihat kehidupan, sehingga menyedarkan bahawa menjadi seorang doktor bukan hanya tertumpu di hospital atau klinik.

"Jalanan mengajar saya bahawa menjadi doktor bukan sekadar merawat penyakit, tetapi mengembalikan harapan kepada mereka yang hampir kehilangannya," katanya.

Kredit: Perkongsian Dr Jalanan bersama Siakap Keli

Bermula sebagai doktor tentera

Menurut Mej Dr Ali, ramai menyangka Dr Jalanan hanyalah seorang individu, sedangkan ia sebenarnya terdiri daripada 11 bekas pegawai perubatan tentera yang berkongsi misi sama.

Beliau berkata, mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak menuntut di Maktab Tentera Diraja (RMC) ketika di Tingkatan Dua sebelum melanjutkan pengajian perubatan di Mesir dan Rusia menerusi biasiswa Kementerian Pertahanan Malaysia.

"Selepas menamatkan pengajian selama enam tahun, kami pulang ke Malaysia dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan tentera selama kira-kira 10 tahun," ujarnya.

Didikan keluarga membentuk jiwa untuk membantu

Menurut beliau, kehidupan yang dilalui ketika kecil bukanlah serba mewah, namun cukup untuk membentuk nilai kemanusiaan dalam dirinya.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Tidak kurang dan tidak juga lebih, tetapi mencukupi.

"Ibu bapa saya sentiasa mengajar supaya membantu mereka yang lebih memerlukan. Nilai itu yang saya pegang sehingga hari ini," katanya.

Kredit: Perkongsian Dr Jalanan bersama Siakap Keli

Pernah hampir berputus asa

Di sebalik senyuman yang sering dilihat ketika membantu masyarakat, Mej Dr Ali mengakui beliau juga pernah melalui detik yang hampir mematahkan semangatnya.

Menurutnya, cabaran terbesar berlaku ketika menjalani latihan housemanship selepas pulang dari luar negara.

"Sistem pembelajaran di Mesir dan Rusia agak berbeza dengan Malaysia.

"Pada awalnya memang sukar menyesuaikan diri, tetapi Alhamdulillah saya berjaya mengharunginya hasil sokongan keluarga dan sahabat," katanya.

Julai 2025 yang mengubah segalanya

Menurut Mej Dr Ali, titik perubahan hidupnya bermula pada Julai 2025 apabila diajak menyertai misi Dr Jalanan oleh pengasasnya, Mej (Dr) Fairuz (B).

Pada mulanya, beliau berasa berat hati kerana ketika itu masih bertugas di ALK-UPNM dan tidak mengetahui apa yang bakal dihadapi.

Namun, malam pertama turun ke jalanan mengubah segala-galanya.

"Saya baru sedar begitu ramai gelandangan yang sebenarnya memerlukan rawatan kesihatan.

"Sejak malam itu saya berazam untuk turun sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi membantu mereka," katanya.

Kredit: Perkongsian Dr Jalanan bersama Siakap Keli

Mengapa memilih jalanan?

Walaupun kemudahan kesihatan seperti klinik kerajaan dan hospital tersedia, menurut beliau, hakikatnya ramai gelandangan tidak mampu mendapatkan rawatan.

"Mereka tidak mempunyai wang untuk bergerak.

"Ada yang perlu menjaga ahli keluarga, malah ada yang lebih memilih menggunakan wang yang ada untuk membeli makanan.

"Sebab itu saya mahu membawa rawatan kepada mereka, bukan menunggu mereka datang kepada kami," ujarnya.

Beliau berkata, kepuasan sebenar bukan datang daripada jawatan atau pendapatan, sebaliknya apabila dapat berkongsi rezeki dengan insan yang memerlukan.

Kisah yang membuat hati luluh

Daripada ratusan pesakit yang ditemui, ada satu kisah yang tidak pernah dapat dipadam daripada ingatannya.

Menurut Mej Dr Ali, seorang lelaki berasal dari Johor datang mendapatkan rawatan kerana sakit kepala yang berpanjangan.

Namun selepas berbual panjang, lelaki itu mengakui sebenarnya dia sedang bergelut dengan keinginan untuk menamatkan hidup selepas kehilangan ibunya.

"Luluh hati saya apabila mendengar pengakuannya.

"Dia terlalu sunyi dan terlalu merindui ibunya.

"Selepas kami berbual lama, Alhamdulillah dia pulang dengan senyuman," katanya.

Abang Mus yang terus menjadi tanggungjawab

Sehingga hari ini, seorang pesakit yang dikenali sebagai Abang Mus masih berada di bawah pemantauan pasukan Dr Jalanan.

Menurut beliau, Abang Mus menjadi gelandangan selepas keluar dari hospital tanpa disambut ahli keluarga.

Keadaan kesihatannya ketika itu amat membimbangkan apabila menghidap diabetes tidak terkawal sehingga mengalami luka serius pada kaki dan belakang badan.

"Kami bersihkan lukanya dan mulakan rawatan.

"Alhamdulillah bacaan gula dalam darah yang pernah mencecah 33 kini berada sekitar lapan hingga sembilan dan luka-lukanya semakin sembuh," katanya.

Rasa gagal yang masih menghantui

Mej Dr Ali turut mengakui ada ketika beliau pulang dengan hati yang berat.

Beliau menceritakan tentang seorang lelaki yang mengalami sakit perut teruk dan dipercayai memerlukan rawatan kecemasan.

Namun lelaki itu enggan dihantar ke hospital kerana tidak sanggup meninggalkan isterinya yang diserang strok bersendirian.

"Akhirnya kami hanya mampu memberikan ubat tahan sakit.

"Sampai hari ini saya masih rasa ralat kerana tidak dapat membantu lebih daripada itu," katanya.

Keluarga menjadi tulang belakang perjuangan

Menurut beliau, keluarga merupakan kekuatan terbesar untuk terus istiqamah menjalankan misi tersebut.

"Isteri dan anak-anak saya sendiri turut turun ke jalanan menemani saya.

"Mereka sentiasa memberi sokongan penuh," katanya.

Kredit: Perkongsian Dr Jalanan bersama Siakap Keli

Pengorbanan yang tidak ternilai

Bagi Mej Dr Ali, pengorbanannya mungkin kelihatan kecil pada pandangan orang lain.

Namun hakikatnya beliau mengorbankan masa bersama keluarga, tenaga dan wang sendiri demi memastikan misi itu dapat diteruskan.

"Saya yakin setiap pengorbanan yang dilakukan kerana Allah akan dibalas dengan rezeki yang lebih baik," ujarnya.

Jalanan mengajar erti syukur

Menurut beliau, golongan gelandangan sebenarnya banyak mengubah cara beliau melihat kehidupan.

"Mereka mengajar saya erti syukur.

"Mereka juga mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa," katanya.

Mej Dr Ali kini berkhidmat sepenuhnya di Klinik Khidmat 24 Jam Setapak, membawa pengalaman dan semangat khidmatnya untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Klinik ini mengangkat tagline “Berbakti Berkhidmat”.

Beliau berkata, setiap individu mempunyai kisah dan ujian yang berbeza sehingga masyarakat tidak sepatutnya mudah menghukum hanya berdasarkan keadaan seseorang.

Cabaran sebenar bukan bahaya, tetapi mendapatkan kepercayaan

Menurut Mej Dr Ali, cabaran terbesar bukanlah ancaman keselamatan ketika berada di jalanan.

Sebaliknya, cabaran paling sukar ialah mendapatkan kepercayaan golongan gelandangan.

"Mereka tidak mudah berkongsi cerita.

"Pada awalnya mereka hanya meminta ubat.

"Selepas beberapa kali bertemu, barulah mereka mula membuka kisah hidup dan penyakit sebenar yang dialami," katanya.

Beliau turut mengakui ada pihak menuduh pasukan Dr Jalanan sekadar mencari publisiti.

Sedangkan menurutnya, semua kos operasi ditanggung menggunakan wang sendiri tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Impian sebuah ambulans kecil

Walaupun misi ini semakin dikenali ramai, Mej Dr Ali berkata masih banyak yang ingin dicapai.

Antara impian terbesar beliau ialah memiliki sebuah ambulans kecil bagi memudahkan pasukan bergerak ke lebih banyak lokasi dalam satu malam.

Selain itu, beliau berharap Dr Jalanan dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain supaya lebih ramai gelandaLegasi yang ingin ditinggalkan

Menurut Mej Dr Ali, beliau tidak mahu masyarakat hanya mengingati Dr Jalanan sebagai sebuah kumpulan sukarelawan.

Sebaliknya, beliau berharap masyarakat belajar untuk tidak lagi memandang serong terhadap golongan gelandangan.

"Mereka tidak pernah memilih takdir hidup seperti itu.

"Apa yang kita boleh lakukan ialah mengambil iktibar daripada kisah mereka dan membantu mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada anak muda agar sentiasa memilih untuk peduli terhadap masyarakat.

"Kalau mampu membantu RM1, bantulah RM1.

"Tidak perlu tunggu kaya untuk berbuat baik.

"Semakin banyak kita membantu orang, semakin banyak Allah membantu kita," ujarnya.

Bagi Mej Dr Ali, harapan adalah perkara terakhir yang perlu dipelihara dalam hidup.

"Apabila hidup terasa terlalu sukar, jangan lepaskan harapan.

"Percayalah kepada rezeki Allah, teruskan berbuat baik dan jangan berhenti membantu sesama manusia.

"Insya-Allah, harapan itu akan sentiasa menemukan jalannya," katanya.

Intipati
  • Dr Jalanan dianggotai 11 bekas pegawai perubatan tentera dengan misi kebajikan kesihatan.
  • Mejar Dr Ali mula turun ke jalanan pada Julai 2025 selepas diajak pengasasnya.
  • Beliau berharap pasukan memiliki ambulans kecil dan misi diperluas ke negeri lain.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan