Anak-anak dan telatah lucu mereka memang tidak dapat dipisahkan, malah sering menjadi penyeri utama dalam sesebuah rumah tangga.
Mana tidaknya, ada sahaja gelagat spontan dan persoalan luar jangka daripada si kecil yang mampu mengundang tawa serta menghilangkan penat lelah ibu bapa selepas seharian bekerja.
Perkara itu turut mencuri perhatian apabila seorang pengguna Threads @mylanair44, berkongsi satu situasi lucu ketika seorang kanak-kanak mengaji.
Pakai Topeng Spider-Man Ketika Belajar Mengaji

Menerusi perkongsian tersebut, ustaz yang mengajar mengaji kepada anak pengguna Threads itu telah memuat naik sekeping gambar di status WhatsApp miliknya, memaparkan kanak-kanak berkenaan sedang duduk di hadapan al-Quran sambil memakai topeng adiwira terkenal, Spider-Man.
“Sabarlah ustaz, memang tiada tandingan. Sebab itu mak engkau tak boleh mengajar. Takut kalau mak ajar, semua jiran taman ini pandai mengaji nanti,” katanya dalam perkongsiannya itu.
Perkongsian ringkas itu turut mengundang pelbagai reaksi lucu daripada pengguna lain yang terhibur melihat gelagat spontan si kecil berkenaan.
Mengajar Spider-Man Mengaji, Spider-Gwen Turut Curi Perhatian
Menerusi sambungan perkongsian wanita berkenaan, anak perempuannya turut mengenakan topeng adiwira lain iaitu Spider-Gwen ketika menghadiri kelas mengaji.
Kanak-kanak perempuan itu dilihat memakai pakaian berwarna merah jambu bersama tudung putih yang dihiasi renda bercorak bunga, selain melengkapkan penampilannya dengan topeng watak adiwira berkenaan.
Sementara itu, perkongsian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi lucu pengguna media sosial yang terhibur melihat gelagat kedua-dua kanak-kanak itu.
Malah, ada juga pengguna yang mengakui anak mereka pernah melakukan perkara sama ketika menghadiri kelas mengaji.
“Anak saya pun pernah pakai gini pergi mengaji. Nasib ustazah melayan je,” kongsi seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna mengambil kesempatan mengusik kanak-kanak perempuan berkenaan dengan bertanyakan sesuatu yang tidak kurang lucunya.
“Nak pergi cari madu tualang ke dik?” tulisnya.
Ragam Anak Kecil Memang Ada-Ada Saja
Gelagat dua kanak-kanak itu membuktikan bahawa sesi pembelajaran anak kecil tidak pernah sunyi daripada kejutan, apatah lagi apabila mereka mempunyai imaginasi dan minat tersendiri.
Bagi ibu bapa dan tenaga pengajar, kerenah sebegini mungkin menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakan, lebih-lebih lagi apabila si kecil mempunyai idea tersendiri untuk menceriakan suasana.

