Setiap kali tiba musim pembayaran zakat, kempen mengajak orang ramai menunaikan kewajipan itu kembali giat dijalankan.
Sekarang, nak bayar zakat pun semakin mudah. Ada yang memilih potongan gaji, ada yang terus bayar melalui aplikasi atau saluran digital.
Bila nak memohon bantuan pula, masih ada yang tertanya-tanya. Kenapa perlu sediakan pelbagai dokumen? Kenapa prosesnya mengambil masa?
Untuk faham kenapa proses agihan memerlukan penelitian, jom tengok bagaimana kutipan dan permohonan bantuan zakat diuruskan di Wilayah Persekutuan.
Agihan Zakat Lebih RM153 Juta Berbanding Kutipan
Berdasarkan data MAIWPNow setakat 17 November 2026, jumlah kutipan zakat mencatatkan RM837.70 juta, manakala jumlah agihan mencecah RM991.38 juta. Ini bermakna, jumlah yang diagihkan melebihi kutipan sebanyak RM153.68 juta.
Agihan yang melebihi kutipan turut dilaporkan pada 2025 dan 2024. Angka ini memberi gambaran tentang besarnya tanggungjawab untuk memastikan keperluan golongan asnaf terus disantuni.
Kemudahan seperti potongan gaji dan pembayaran digital pula membantu menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan zakat.
4 Faktor Yang Diambil Kira Ketika Menilai Permohonan

1. Pendapatan isi rumah
Slip gaji memberikan gambaran awal tentang pendapatan pemohon. Penilaian turut melihat pendapatan isi rumah untuk memahami kemampuan keluarga menampung keperluan harian.
2. Jumlah tanggungan
Bayangkan dua keluarga dengan pendapatan yang sama. Kalau satu keluarga perlu menanggung lebih ramai anak, belanja hariannya juga boleh jadi lebih besar. Sebab itu jumlah tanggungan turut diambil kira.
3. Keadaan tempat tinggal
Di bandar seperti Kuala Lumpur, kos sewa boleh mengambil sebahagian besar daripada pendapatan bulanan.
Keadaan tempat tinggal membantu memberi gambaran tentang beban yang ditanggung keluarga, terutama apabila dilihat bersama pendapatan dan jumlah tanggungan mereka.
4. Perbelanjaan asas dan situasi semasa
Pengangkutan ke tempat kerja, keperluan anak dan kos rawatan kesihatan juga boleh memberi kesan kepada kemampuan sesebuah keluarga.
Apabila semua perbelanjaan ini diambil kira, barulah lebih jelas mengapa ada keluarga yang masih bergelut walaupun mempunyai pendapatan tetap.
Dari luar, kita mungkin nampak mereka ada pekerjaan tetap. Keadaan sebenar keluarga itu hanya lebih jelas apabila pendapatan dan perbelanjaan asas mereka dinilai bersama.
Sebab itu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut membangunkan MoJA, aplikasi jejak asnaf yang membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang individu atau keluarga yang mungkin memerlukan bantuan.
Maklumat itu membantu MAIWP menjejaki mereka dan menyemak kelayakan berdasarkan keadaan sebenar.
Mudah Membayar, Lebih Ramai Asnaf Dapat Disantuni

Memudahkan pembayaran dan meneliti permohonan bantuan ialah dua usaha yang saling melengkapi.
Apabila keadaan pemohon dinilai secara menyeluruh, bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memenuhi syarat dan keluarga yang layak dapat dikenal pasti supaya mereka tidak tercicir.
Pada masa sama, maklum balas masyarakat tentang dokumen yang diperlukan, pengalaman memohon dan tempoh menunggu juga wajar diberi perhatian supaya urusan mendapatkan bantuan dapat ditambah baik.
Sempurna Bersama, Membina Generasi Zakat
Bersempena kempen ini, bagi yang masih belum menunaikan zakat, bayaran boleh dibuat sebelum 31 Disember 2026 melalui aplikasi MyZakat atau laman web zakat.
Pembayar yang layak juga boleh menuntut rebat cukai pendapatan sehingga 100 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar, tertakluk pada jumlah cukai yang dikenakan. Tunaikan zakat di zakat.com.my
