Setiap kali pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkumpul untuk sidang kemuncak, ada satu tradisi menarik yang sering mencuri perhatian.
Mereka biasanya akan mengenakan pakaian tradisional negara tuan rumah ketika bergambar beramai-ramai sebagai tanda menghormati budaya setempat.
Namun, berbeza dengan sidang kemuncak terdahulu, pemimpin APEC yang berkumpul di Shenzhen pada Khamis lalu tampil dengan gaya lebih sederhana.
Kali ini, mereka hanya menyarungkan skaf sutera pada pakaian rasmi masing-masing, bukannya mengenakan busana tradisional lengkap seperti sebelum ini.
Ini Maksud Skaf Sutera Pemimpin Dunia Di APEC Shenzhen

Ketika China menjadi tuan rumah pada sidang kemuncak terdahulu, pemimpin yang hadir pernah mengenakan jaket berpotongan moden dengan sentuhan tradisional Cina.
Walaupun nampak ringkas, skaf yang dipilih kali ini sebenarnya mempunyai pelbagai simbolik tersendiri hasil penelitian pereka dan penghasilnya.
Menurut pengerusi syarikat Suzhou Shangjiukai Silk Technology and Culture Company, Wu Jianhua, setiap skaf mempunyai 21 benang sutera liar yang ditenun bersama.
Jumlah itu bukan sekadar hiasan kerana ia melambangkan kerjasama erat dan saling menguntungkan antara 21 ekonomi anggota APEC.
Wu memberitahu agensi berita Xinhua bahawa pihaknya berharap skaf tersebut dapat membuatkan pemimpin yang memakainya merasai keunikan budaya China.
Pada masa sama, mereka juga diharapkan dapat merasai semangat kebersamaan dalam komuniti Asia Pasifik.
Menariknya, Wu bukanlah nama asing dalam dunia rekaan pakaian untuk acara APEC kerana beliau turut menghasilkan fabrik jaket pemimpin ketika sidang kemuncak Beijing pada 2014.
Jaket ketika itu menampilkan gabungan unsur rekaan daripada beberapa dinasti dalam sejarah China.
Dua Warna, Dua Teknik Sulaman Tradisional
Bagi sidang kemuncak di Shenzhen kali ini, pemimpin APEC diberikan dua pilihan skaf berwarna merah tua dan biru tua.
Kedua-dua warna tersebut dipilih berdasarkan warna pada lambang APEC, selain dihiasi menggunakan dua teknik sulaman tradisional berbeza.
Rekaannya pula menggunakan tona lembut supaya mudah dipadankan dengan pakaian rasmi yang dipakai para pemimpin.

Skaf merah dihasilkan daripada sutera Guangdong yang dikenali sebagai xiangyunsha, atau turut digelar sutera awan harum.
Menurut Wu kepada Beijing Daily, fabrik tersebut mempunyai proses pewarnaan yang agak mencabar kerana menggunakan ekstrak tumbuhan gambir.
Disebabkan itu, mendapatkan warna yang sekata bukanlah perkara mudah sehingga para penghasilnya perlu menyediakan lebih 300 sampel percubaan.
Bahagian hujung skaf dihiasi sulaman awan bertuah berwarna keemasan serta corak ombak yang menjadi antara motif hiasan tradisional paling terkenal di China.
Sementara itu, bahagian belakangnya menampilkan lambang APEC dalam warna jingga kemerahan.
Dalam budaya masyarakat Cina, motif awan dan ombak sering dikaitkan dengan tuah, keamanan serta kemakmuran yang berpanjangan.
Berbeza pula dengan skaf merah, versi biru dihasilkan menggunakan fabrik broked Song yang dihiasi corak awan dan ombak berwarna perak.
Bahagian belakangnya pula menampilkan lambang APEC dalam gabungan warna biru dan hijau.
Fabrik sutera tradisional itu sudah wujud sejak zaman Dinasti Song, sekitar tahun 960 hingga 1279, dan mempunyai nilai warisan tersendiri.
Malah, broked Song turut tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.
Bukan itu sahaja, teknik mewarna dan menyiapkan sutera Guangdong serta sulaman tradisional dari Guangdong dan Suzhou juga diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara kebangsaan China.
Untuk pengetahuan, Guangdong merupakan wilayah tempat terletaknya Shenzhen, manakala Suzhou pula terkenal sejak dahulu sebagai pusat penghasilan sutera dan seni sulaman.
Corak Bunga Turut Bawa Identiti Shenzhen
Selain motif awan dan ombak pada kedua-dua hujung skaf, bahagian latarnya turut dihiasi tiga corak yang mempunyai makna tersendiri.
Antaranya ialah bunga kapok, bunga kertas atau bougainvillea serta motif awan bertuah yang disatukan dalam corak tenunan halus.
Bunga kapok yang turut dikenali sebagai bunga wira menjadi lambang semangat perintis masyarakat di kawasan Greater Bay Area.

Sementara itu, bougainvillea dipilih kerana bunga tersebut merupakan bunga rasmi bandar Shenzhen.
Jadi, meskipun hanya berupa sehelai skaf yang kelihatan sederhana, setiap coraknya sebenarnya membawa cerita tentang budaya, sejarah dan identiti China.

