Bila sebut tentang Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), mungkin ramai terus terbayangkan individu yang susah fokus, mudah gelisah atau sering terlupa sesuatu perkara.
Namun, tahukah anda ADHD bukan hanya berkaitan kesukaran memberikan tumpuan?
Sesetengah individu dengan ADHD juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti kreativiti, kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan dan lebih bersemangat apabila melakukan perkara yang diminati.
Disebabkan itu, pemilihan pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kebolehan diri boleh memainkan peranan penting dalam membantu mereka membina kerjaya.
Menurut Anxiety and Depression Association of America (ADAA), kira-kira 60 peratus individu yang mempunyai ADHD masih mengalami gejala tersebut apabila memasuki usia dewasa.
Keadaan ini dianggarkan melibatkan 4.4 peratus populasi dewasa atau kira-kira lapan juta orang.
Bagi orang dewasa, ADHD boleh menyebabkan seseorang mudah hilang fokus, sukar menguruskan masa, tidak teratur dan sering berasa gelisah.
Bagaimanapun, bukan semua individu ADHD mempunyai pengalaman yang sama. Ada yang lebih selesa dengan rutin tersusun, manakala ada juga yang gemarkan suasana kerja aktif dan sentiasa berubah.
Jadi, apakah bidang pekerjaan yang mungkin sesuai dengan kekuatan mereka?
Penghidap ADHD Sesuai Bidang Kesihatan Dan Kebajikan
Bagi individu yang suka membantu orang lain dan mempunyai minat mendalam terhadap kebajikan masyarakat, bidang ini mungkin boleh dipertimbangkan.
Pekerjaan yang dekat dengan minat dan nilai diri boleh menjadi sumber motivasi untuk sesetengah individu ADHD. Apabila mereka benar-benar menyukai apa yang dilakukan, lebih mudah untuk membina komitmen terhadap pekerjaan tersebut.
Antara kerjaya yang boleh diceburi ialah pekerja sosial, ahli psikologi, doktor, jururawat, doktor haiwan dan guru pendidikan khas.
Bidang Kecemasan Dan Penguatkuasaan
Ada individu yang lebih bersemangat apabila berdepan situasi mencabar berbanding melakukan tugasan sama setiap hari.
Jika sukakan suasana kerja yang pantas dan memerlukan tindakan segera, bidang kecemasan mungkin boleh menjadi pilihan.
Contohnya, anggota bomba, pegawai polis, detektif, jururawat unit rawatan rapi dan petugas pusat panggilan kecemasan.
Menurut ahli psikoterapi klinikal, Dr Stephanie Sarkis, sesetengah individu ADHD boleh bekerja dengan baik dalam persekitaran berintensiti tinggi seperti jabatan kecemasan dan perkhidmatan ambulans.
Bidang Pengurusan Dan Pentadbiran
Bukan semua penghidap ADHD sukakan suasana kerja yang sibuk dan tidak menentu. Ada juga yang lebih selesa apabila setiap tugasan mempunyai arahan serta jadual yang jelas.
Persekitaran kerja yang tersusun boleh membantu mereka mengetahui perkara yang perlu dilakukan tanpa terlalu banyak kekeliruan.
Antara pekerjaan yang boleh dipertimbangkan termasuk akauntan, penganalisis data, pengurus projek, peguam, penguji perisian dan pegawai tuntutan insurans.
Dengan rutin dan aliran kerja yang jelas, urusan harian mungkin menjadi lebih mudah untuk diuruskan.
Bidang Pendidikan
Jika gemarkan suasana kerja yang aktif, suka berinteraksi dan tidak mahu melakukan perkara sama sepanjang hari, bidang pendidikan juga boleh menjadi pilihan.
Sebagai contoh, guru bukan sahaja mengajar di dalam kelas, malah perlu menyediakan bahan pembelajaran, mengendalikan aktiviti dan berinteraksi dengan pelajar.
Antara kerjaya yang boleh dipertimbangkan termasuk guru sekolah, pendidik prasekolah, tenaga pengajar pendidikan khas dan jurulatih pendidikan.
Bidang Kreatif Dan Seni
Suka melukis, mereka sesuatu atau sering mempunyai idea yang berbeza daripada orang lain? Bidang kreatif mungkin sesuai dimasukkan dalam senarai pilihan kerjaya.
Pekerjaan yang memberikan ruang untuk mencuba idea baharu dan menghasilkan sesuatu berdasarkan imaginasi boleh menjadi pilihan menarik bagi individu yang mempunyai minat dalam bidang seni.
Antara kerjaya yang boleh diceburi termasuk pelukis, pereka grafik, jurugambar, penulis, pereka fesyen dan pencipta kandungan digital.
Bidang ini juga menawarkan pelbagai jenis projek yang membolehkan seseorang meneroka idea dan pendekatan berbeza.
Bidang Perniagaan Dan Keusahawanan
Tidak semua orang selesa bekerja mengikut jadual dan arahan yang ditetapkan oleh orang lain.
Bagi individu ADHD yang gemarkan kebebasan, bekerja sendiri atau membina perniagaan mungkin boleh menjadi salah satu pilihan.
Contohnya, menjadi usahawan, pekerja bebas, penulis bebas, perunding atau pereka grafik bebas.
Melalui pekerjaan sebegini, seseorang mempunyai lebih banyak ruang untuk mengatur jadual dan menentukan cara kerja sendiri.
Namun begitu, kebebasan ini tetap datang dengan tanggungjawab. Pengurusan masa, kewangan dan tarikh akhir perlu diberikan perhatian supaya urusan kerja tidak terganggu.
Bidang Teknologi Dan Analisis
Bagi mereka yang suka bermain dengan nombor, meneroka teknologi atau mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah, bidang ini juga boleh dipertimbangkan.
Pekerjaan dalam bidang teknologi dan analisis biasanya melibatkan tugasan seperti mengumpul maklumat, mengenal pasti corak dan mencari penyelesaian berdasarkan data.
Antara kerjaya yang boleh diceburi termasuk penganalisis data, pengatur cara.
ADHD Bukan Penghalang Seseorang Untuk Bina Kerjaya
Apa yang penting, ADHD bukan penghalang untuk seseorang membina kerjaya yang diimpikan. Setiap individu mempunyai kelebihan dan cara bekerja yang berbeza. Ada yang menyerlah dalam suasana sibuk, ada juga yang lebih produktif apabila bekerja mengikut rutin sendiri.
Jadi, daripada terlalu memikirkan pekerjaan apa yang tidak sesuai, apa kata mula kenali kekuatan diri dan cari bidang yang benar-benar membuatkan anda bersemangat?
Kerana kerjaya yang tepat bukan semestinya pekerjaan yang paling mudah, tetapi pekerjaan yang memberi ruang untuk anda menyerlah dengan cara tersendiri.

