Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

‘Kisah Bawah Tanah’ bukan sekadar kisah hantu, tetapi cerminan perjuangan anak muda mengharungi realiti alam pekerjaan, dibina selepas bertahun-tahun ditolak sebelum akhirnya menjadi siri animasi dewasa pertama Malaysia.
Bermula sebagai seorang penyunting video bergaji rendah dengan waktu kerja yang panjang, siapa sangka pengalaman pahit itu akhirnya menjadi inspirasi kepada penghasilan Kisah Bawah Tanah, siri animasi tempatan yang kini membawa naratif rakyat Malaysia ke pentas serantau.

Bagi Pengarah Urusan Bawah Tanah Sdn Bhd dan bekas Penyunting Video di sebuah media tempatan, Hendra Wardi, segala cabaran ketika melangkah ke alam pekerjaan menjadi asas kepada kisah yang ingin disampaikan kepada generasi hari ini.
Dalam satu sesi temu bual khas bersama SiakapKeli baru-baru ini, Hendra berkata, Kisah Bawah Tanah bukan sekadar sebuah animasi tentang makhluk mistik, sebaliknya mengangkat realiti kehidupan golongan muda yang sedang mencari arah selepas tamat pengajian.
“Kisah Bawah Tanah merupakan siri animasi pertama di Malaysia yang tidak menyasarkan kanak-kanak atau prasekolah. Kami hasilkan animasi ini khusus untuk remaja, golongan muda yang baru bekerja dan juga orang dewasa.
“Hantu bukanlah elemen yang paling menyeramkan. Cabaran sebenar ialah apabila seseorang memasuki alam dewasa, mencari pekerjaan, bergelut dengan tekanan hidup dan cuba membina masa depan. Itu sebenarnya ‘seram’ yang ingin kami ceritakan,” katanya.
Menurut Hendra, kisah tersebut menggabungkan cerita rakyat Asia Tenggara dengan pengalaman sebenar kehidupan bagi menjadikan ia lebih dekat dengan generasi Gen Z dan Gen Alpha.
Bukan sekadar kisah hantu, tetapi kisah membesar
Menurut Hendra, masyarakat Asia Tenggara membesar dengan cerita-cerita hantu yang diceritakan oleh ibu bapa dan datuk nenek.
Namun kali ini, cerita tersebut diberikan nafas baharu supaya relevan dengan generasi hari ini.
“Kita semua pernah dengar pesan jangan pergi dekat pokok pisang atau macam-macam pantang larang sejak kecil. Cerita itu dekat dengan budaya kita.
“Jadi kami mahu mengolah semula cerita rakyat itu supaya boleh dinikmati generasi baharu dengan pendekatan yang lebih moden,” ujarnya.
Beliau berkata, watak-watak seperti Zack dan Sam pula merupakan gambaran kehidupan sebenar anak muda yang baru menamatkan pengajian sebelum memasuki dunia pekerjaan.
Malah, pengalaman itu sendiri lahir daripada kisah hidup beliau dan rakan kongsi perniagaannya.
“Apabila mula bekerja dahulu, kami menerima gaji rendah, bekerja sehingga lewat malam, tiada bayaran kerja lebih masa dan skop kerja jauh berbeza daripada kontrak asal.
“Watak Zack dan Sam adalah refleksi pengalaman kami sendiri yang saya percaya turut dilalui ramai anak muda di luar sana,” katanya.

Bermula dengan penolakan demi penolakan
Menurut Hendra, idea Kisah Bawah Tanah sebenarnya mula dibangunkan sekitar 2015.
Namun ketika itu, hampir semua pihak berpendapat animasi hanya sesuai untuk kanak-kanak.
“Apabila kami membuat pembentangan kepada penyiar sekitar 2015, hampir semuanya berkata animasi di Malaysia hanya untuk kanak-kanak.
“Banyak kali kami ditolak, bertahun-tahun kami menerima penolakan, tetapi kami tetap percaya dengan sasaran penonton yang kami pilih,” katanya.
Beliau berkata, peluang mula terbuka selepas menyertai pertandingan anjuran MDEC pada 2018 sebelum dipadankan dengan pemain industri bagi membangunkan harta intelek (IP) tersebut.
Selepas memperoleh tiga surat minat daripada penyiar antarabangsa, projek berkenaan akhirnya menerima pembiayaan bagi menghasilkan episod perintis sebelum pandemik COVID-19 melanda.
Menurutnya lagi, kemasukan Animasia Studio pada 2023 menjadi titik perubahan apabila pengalaman lebih dua dekad studio berkenaan mengurangkan keraguan pelabur terhadap projek tersebut.

Mengangkat hantu Asia Tenggara menjadi ikon dunia
Bagi Hendra, dunia sudah mengenali Dracula, Werewolf dan pelbagai makhluk legenda Barat.
Namun, hantu Asia Tenggara masih belum diberikan tempat sewajarnya di pentas antarabangsa.
“Kita tahu bagaimana hendak mengalahkan Dracula atau Werewolf.
“Tetapi dunia tidak tahu kisah Pontianak, Pocong, Penanggal atau Penanak.
“Mereka tahu ia menyeramkan tetapi tidak tahu latar belakang, kekuatan atau kelemahannya.
“Itulah yang kami mahu perkenalkan kepada dunia,” katanya.
Menurut beliau, musim kedua bakal memperluaskan dunia Kisah Bawah Tanah dengan memperkenalkan lebih banyak makhluk mistik dari Indonesia, Thailand, Singapura dan negara Asia Tenggara lain sebelum semuanya bertembung dalam filem yang sedang dibangunkan.

Inspirasi sebenar datang daripada pengalaman hidup
Hendra turut berkongsi perjalanan kerjayanya sebelum menubuhkan syarikat produksi sendiri.
Beliau berkata, selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja sebagai penyunting video di sebuah stesen penyiaran tempatan dengan gaji rendah serta beban tugas yang jauh melebihi skop asal.
“Kontrak saya hanya sebagai video editor tetapi saya perlu menulis skrip, mengarah, menguruskan produksi, menyelaras bakat sehingga menguruskan pakaian.
“Walaupun gajinya kecil, saya belajar hampir semua aspek penerbitan televisyen,” katanya.
Pengalaman itu kemudiannya membawanya menguruskan unit produksi sebuah universiti melibatkan lebih 120 tenaga kerja sebelum menubuhkan syarikat produksi sendiri.
Hasil keuntungan syarikat tersebut digunakan untuk menghasilkan tiga filem pendek bergenre seram yang diinspirasikan daripada cerita rakyat Malaysia sebelum lahirnya idea Kisah Bawah Tanah.
Mengisi kekosongan animasi tempatan untuk remaja dan dewasa
Menurut Hendra, industri animasi Malaysia sudah mempunyai banyak karya hebat untuk kanak-kanak.
Justeru, beliau memilih untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan penonton yang sudah meningkat dewasa.
“Apabila penonton membesar, mereka mula beralih kepada kandungan luar seperti Rick and Morty, Family Guy atau The Simpsons kerana tiada pilihan tempatan.
“Kami mahu mengisi jurang itu dengan menghasilkan kandungan tempatan yang lebih dekat dengan pengalaman hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, proses pembangunan cerita mengambil masa paling lama berbanding animasi kerana setiap episod perlu dibina bermula daripada idea, konflik manusia, pemilihan makhluk mistik, penulisan skrip, storyboard, rakaman suara sebelum proses animasi dijalankan.
Siri animasi yang lahir daripada pengalaman sebenar
Menurut Hendra, Kisah Bawah Tanah bukan berdasarkan satu kisah benar semata-mata.
Sebaliknya, setiap episod mengambil inspirasi daripada pengalaman hidup yang mampu dirasai oleh kebanyakan penonton.
“Kami tidak menghasilkan cerita untuk diri kami sendiri.
“Kami mengambil elemen kehidupan sebenar supaya lebih ramai orang dapat mengaitkan pengalaman mereka dengan cerita yang dipaparkan,” ujarnya.
Beliau berkata, siri itu merakam detik yang sukar dilupakan ketika seseorang mula melangkah ke alam dewasa, mencari pekerjaan pertama, berdepan kesukaran kewangan serta bergantung kepada sahabat baik yang menjadi teman paling rapat ketika itu.
Kisah Bawah Tanah terus melangkah ke pentas antarabangsa
Musim pertama Kisah Bawah Tanah menampilkan 26 episod berdurasi 12 minit dalam format animasi 2D berbahasa Melayu dengan genre komedi paranormal satira yang menyasarkan penonton remaja dan seisi keluarga.
Siri itu mula ditayangkan pada 9 Mac menerusi Astro Prima, Astro One dan Sooka.
Hendra berkata, selain pembangunan musim kedua, pihaknya turut menghasilkan filem Kisah Bawah Tanah yang dijangka diumumkan secara rasmi pada November ini.
Menurutnya, siri berkenaan juga bakal memasuki pasaran Thailand sebelum diperluaskan ke beberapa negara Asia Tenggara menjelang suku keempat tahun ini.

Lebih 800 peminat raikan kejayaan Kisah Bawah Tanah di REXKL
Dalam perkembangan sama, acara Jom Turun Underground @ REXKL berjaya menghimpunkan lebih 800 pengunjung bagi meraikan kejayaan Kisah Bawah Tanah selain memperkenalkan Part 2 yang mula ditayangkan pada 8 Jun 2026.
Majlis tersebut menghimpunkan media, peminat, pencipta kandungan, selebriti, influencer, jenama dan komuniti menerusi pelbagai aktiviti interaktif termasuk pengumuman eksklusif, persembahan pentas serta kerjasama bersama ALPHA, myBurgerLab, XP, Tealive Premix, Bila Bila Mart dan Yeo’s Yeogurt.
Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa personaliti terkenal seperti Nadhir Nasar, Auddra, Aedy Ashraf, Sharifah Sakinah dan Qi Razali.
Lebih membanggakan, acara itu turut menerima sokongan lebih 50 organisasi media tempatan dan antarabangsa, pencipta kandungan serta komuniti kreatif yang bersama-sama mengangkat karya animasi Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Hendra, perjalanan Kisah Bawah Tanah masih jauh dan usaha membawa cerita rakyat Malaysia ke persada dunia baru sahaja bermula.