Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jotun Labur Hampir RM500 Juta, Pilih Shah Alam Sebagai Hab Serantau Asia Tenggara Pasifik

Syarikat pengeluar cat dan salutan global, Jotun, melabur hampir RM500 juta bagi membangunkan ibu pejabat serantau dan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) baharu di Glenmarie, Shah Alam.

Iklan

Kemudahan yang dirasmikan hari ini itu bakal menjadi pusat operasi serantau Jotun bagi menyokong perkembangan perniagaan syarikat di Malaysia dan lapan pasaran lain di rantau Asia Tenggara serta Pasifik.

Pelaburan bernilai kira-kira AS$123 juta itu merangkumi ibu pejabat serantau dan pusat R&D yang ditempatkan di bawah satu bumbung. Bangunan berkenaan mampu menempatkan sehingga 200 kakitangan dan kini mempunyai seramai 133 pekerja.

Pembukaan fasiliti baharu itu turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Jotun sejak 1926.

Jotun mula beroperasi di Asia Tenggara pada 1968 sebelum membuka kilangnya di Malaysia pada 1985. Pemilihan Malaysia bagi pembangunan fasiliti baharu ini didorong oleh kestabilan pasaran, kedudukan strategik negara serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknikal dan penyelidikan.

Perkukuh Operasi Serantau

Naib Presiden Jotun bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Jon Bigseth berkata, pembukaan ibu pejabat dan pusat R&D baharu itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi pertumbuhan rantau ini.

Menurutnya, pelaburan berkenaan bukan sekadar menyediakan bangunan baharu, malah menjadi platform untuk menghimpunkan tenaga kerja, kepakaran dan kerjasama bagi meneroka peluang perniagaan serta pertumbuhan jangka panjang.

Beliau berkata, fasiliti tersebut juga mencerminkan komitmen Jotun untuk terus melabur dan mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia Tenggara dan Pasifik.

Ketika ini, operasi Jotun di rantau berkenaan turut meliputi Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Singapura dan Australia.

Keseluruhan operasi serantau itu disokong oleh kira-kira 2,500 kakitangan daripada 26 kewarganegaraan.

Pusat R&D Dilengkapi Teknologi Penyelidikan

Pusat R&D baharu itu menempatkan makmal khusus bagi empat segmen produk utama, iaitu Cat Dekoratif, Salutan Marin, Salutan Pelindung dan Salutan Serbuk.

Makmal berkenaan dilengkapi pelbagai peralatan analisis berteknologi tinggi seperti Spektrometer Inframerah Transformasi Fourier (FTIR), Kalorimeter Imbasan Pembezaan (DSC), reometer dan spektrofotometer.

Selain itu, terdapat juga peralatan untuk menjalankan ujian kakisan dipercepatkan serta mesin simulasi cuaca bagi menguji ketahanan produk terhadap keadaan persekitaran.

Kemudahan ini membolehkan pasukan R&D membangunkan dan menguji produk salutan yang disesuaikan dengan keadaan iklim di Asia Tenggara, termasuk suhu tinggi, kelembapan serta pendedahan kepada sinaran ultraungu (UV).

Pusat berkenaan turut dilengkapi kemudahan pengeluaran perintis bagi membantu pasukan R&D meningkatkan skala pembangunan produk sebelum dibawa ke peringkat pengeluaran sebenar.

Antara produk yang bakal dibangunkan termasuk cat luaran yang lebih tahan terhadap cuaca melampau dan kotoran, selain cat dalaman dengan kadar pelepasan bahan yang rendah serta ketahanan tinggi.

Pusat itu juga mempunyai kepakaran dalam menghasilkan warna mengikut permintaan pelanggan, manakala kawasan bumbung bangunan disediakan sebagai ruang ujian luluhawa semula jadi.

Pengarah R&D Serantau Jotun bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Hans Kristian Austad berkata, kemudahan penyelidikan dan pengujian baharu itu membolehkan syarikat meneroka lebih banyak idea serta menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pasaran serantau.

Menurutnya, kejayaan inovasi bukan hanya bergantung pada hasil penyelidikan di makmal, tetapi turut dinilai berdasarkan perubahan dan manfaat yang dapat diberikan kepada pengguna.

Reka Bentuk Berinspirasikan Warisan Tempatan

Menariknya, reka bentuk bangunan ibu pejabat baharu itu turut menggabungkan elemen warisan tempatan dan identiti asal Jotun.

Bahagian fasad bangunan menampilkan corak songket sebagai penghormatan kepada budaya tempatan, manakala reka bentuk dalaman serta pemilihan perabot seperti kerusi dan dinding anyaman diinspirasikan daripada warisan Norway dan pengaruh budaya Asia Tenggara.

Dilengkapi Kemudahan Mesra Alam

Dari aspek kelestarian, bangunan tersebut memperoleh pensijilan LEED Gold sebagai pengiktirafan terhadap ciri reka bentuk dan operasinya yang mengutamakan kecekapan tenaga serta penggunaan sumber secara mampan.

Bangunan itu turut dilengkapi sistem solar berkapasiti 237.90 kWp yang menyumbang antara lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga.

Selain itu, sistem penuaian air hujan disediakan bagi membolehkan air digunakan semula untuk penyelenggaraan landskap dan sistem curahan tandas.

Kemudahan lain termasuk 200 petak parkir, dengan 15 daripadanya dilengkapi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

Projek pembinaan bangunan ini turut menerima dua pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), iaitu penarafan lima bintang menerusi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) serta skor 88 menerusi Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC).

Kedua-dua penilaian itu merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan serta kualiti hasil kerja projek berkenaan.