Tidak kira apa jenis haiwan sekalipun, apabila melihat seekor haiwan dalam kesusahan, sudah tentu ada antara kita yang akan tampil menghulurkan bantuan.
Begitulah kisah seekor kucing yang ditemui dalam keadaan tidak bermaya di sebuah kapal laut yang belayar dari Batam, Indonesia ke Singapura.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang kru kapal, @syedhidzer menceritakan bagaimana dia bersama rakan sekerjanya menemui seekor kucing berwarna hitam di atas kapal mereka.
Kru Kapal Selamatkan Kucing Dengan Bantuan Kecemasan

Kucing yang kemudian diberi nama Dak Tam itu ditemukan dalam keadaan kaku tetapi masih bernafas di sebelah sebuah genset.
Melihat keadaan haiwan tersebut, @syedhidzer dan rakan sekerjanya segera memberikan bantuan kecemasan berdasarkan pengetahuan pertolongan cemas yang pernah dipelajari.
“Alkisah, tengah buat kerja, sekali ternampak seekor kucing dah keras sebelah genset. Mungkin kena strok haba.
“Berbekalkan first aid yang kami belajar, kami terus bagi bantuan kecemasan,” katanya.
Selepas kejadian itu, mereka akhirnya mendapat tahu bahawa Dak Tam sebenarnya berasal dari Batam, Indonesia sebelum dipercayai mengikuti sebuah kapal lain sehingga tiba di Singapura.
Perkara tersebut turut mencuit hati @syedhidzer apabila dia menyedari mengapa kucing berkenaan tidak memberikan sebarang reaksi ketika dia cuba bercakap dengannya dalam bahasa Melayu.
“Info terbaru, kucing ni dari Batam, Indonesia. Dia ikut kapal lain ke Singapura. Patutlah aku cakap Melayu dia tak respon.
“Ngak bisa ngomong cakap Malay,” ujarnya, berseloroh.

Dalam beberapa perkongsian seterusnya, @syedhidzer turut berkongsi perkembangan kesihatan Dak Tam yang mula menunjukkan tanda-tanda positif selepas menerima bantuan kecemasan.
Kucing itu dilaporkan sudah mampu mengeluarkan bunyi, namun masih belum dapat menggerakkan badannya dengan baik.
Bagi memastikan Dak Tam mendapat penjagaan sewajarnya, haiwan tersebut turut ditempatkan di sebuah bilik rawatan yang biasanya digunakan untuk manusia.
Malah, keprihatinan kru kapal terhadap kucing itu semakin terserlah apabila mereka sanggup berulang-alik meninggalkan kerja buat seketika untuk menjenguk keadaannya.
“Walaupun muka hitam, baju kotor, kami tetap sayang binatang.
“Bebudak ni kejap-kejap lari dari kerja nak pergi tengok kucing kat hospital. Punyalah risau,” katanya.
Selepas kira-kira tiga hari berada di kapal tersebut, mereka merancang untuk menyerahkan Dak Tam kepada seorang penduduk tempatan di Singapura bagi membolehkan kucing itu terus dijaga dan mendapatkan rawatan.
Dak Tam Tiba-Tiba Hilang, Kru Kapal Cemas Mencari
Bagaimanapun, sebelum sempat diserahkan kepada individu berkenaan, mereka dikejutkan dengan kehilangan Dak Tam secara tiba-tiba.
Lebih membimbangkan, kucing itu masih belum pulih sepenuhnya dan belum mampu berjalan dengan baik ketika kejadian tersebut berlaku.
Menurut @syedhidzer, mereka sudah mencari Dak Tam di sekitar kapal kerana bimbang haiwan itu dibawa pergi oleh orang lain.
Namun begitu, usaha pencarian mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Dak Tam berjaya ditemukan semula.
Dalam perkembangan terbaharu, kucing itu dilihat semakin sihat dan sudah mula menunjukkan kemampuan untuk bergerak.
Walau bagaimanapun, keadaannya masih belum pulih sepenuhnya apabila dia belum mampu berjalan seperti biasa.
Malah, menerusi video yang dikongsikan, Dak Tam dilihat cuba bergerak sebelum hanya mampu melompat sekali dan kembali mengesot.
Bercakap kepada Siakap Keli, @syedhidzer memaklumkan bahawa dia bersama rakan sekerjanya perlu meninggalkan Dak Tam di Singapura kerana mereka perlu meneruskan pelayaran.
Justeru, mereka merancang untuk menyerahkan kucing tersebut kepada penduduk tempatan supaya Dak Tam dapat meneruskan rawatan dan menerima penjagaan yang lebih baik.

