Siakap Keli

‘Lagenda’ Disebalik Patung Kucing Dari Jepun Dengan Tangan Yang Melambai

Masyarakat negara Jepun sangat meminati dalam memelihara kucing kerana beranggapan ianya akan membawa keuntungan dan dikhabarkan mitos ini berkait dengan lagenda Maneki Neko serta beranggapan bahawa kucing merupakan haiwan kesayangan dewa matahari iaitu  Dewa Amaterasu. Menariknya, Maneki Neko dikatakan boleh memberikan keuntungan dan juga rezeki kepada sesiapa sahaja yang memilikinya.

Maneki Neko merupakan sebuah patung yang menyerupai  seekor kucing yang duduk sambil melambai satu kakinya ke hadapan di mana anda boleh melihatnya di kedai-kedai masyarakat yang bukan beragama islam. Perkataan “Maneki” membawa maksud memanggil atau mengajak manakala “Neko” pula membawa erti kucing. Sehingga kini Maneki Neko membawa simbolik kemakmuran dan keberuntungan kepada pemilik perniagaan. Bahkan, negara China juga tertarik dengan mitos Maneki Neko. Oleh itu, tidak asing lagi sekiranya anda dapat melihat patung Maneki Neko di pelbagai tempat yang penghuninya adalah masyarakat cina.

Gambar via Catster

Disebabkan negara Jepun sangat mencintai kucing, negara Jepun telah mengeluarkan beberapa filem yang melibatkan kucing sebagai fokus utama dalam penghasilan sesebuah filem. Sebagai contoh yang anda boleh ketahui, Doremon, Hello Kitty, Pokemon dan sebagainya yang memegang watak utama dan pahlawan. Filem-filem tersebut mendapat sambutan ramai di seluruh dunia termasuk juga Malaysia dek kerana keunikkan dan penampilan yang comel pada pandangan penonton.

Terdapat 6 fakta unik yang boleh diketahui tentang Maneki Neko:

  1. Maneki Neko’ bermula dari kisah kucing yang menyelamatkan seorang samurai dari disambar petir

Peristiwa ini menjadi suatu fenomena yang sangat memberi kesan yang mendalam dan popular bagi masyarakat negara Jepun. Kronologi kisah ini bermula apabila seorang samurai yang sedang berteduh di bawah pokok ketika hujan lebat. Kelihatan seekor kucing seakan melambai-lambai kakinya berulang kali ke arah samurai tersebut  lalu samurai tersebut menghampiri kucing dan memasuki ke dalam sebuah kuil usang. Tidak lama kemudian, pokok tempat samurai berteduh itu disambar petir dan nyawanya terselamat berkat si kucing tersebut.

Sang samurai beranggapan bahawa kuil dan kucing yang bernama Tama membawa keuntungan dan masyarakat ketika itu mulai berkunjung ke kuil tersebut untuk mendapatkan keuntungan. Ketika kucing itu mati, masyarakat membuat perkebumian  secara hormat dan terhasil patung kucing sebagai penghormatan oleh sang pendeta kepada kucing yang bernama Tama tersebut.

2. Maneki Neko mempunyai 6 warna yang berbeza dan maksud yang berbeza

Maneki Neko mempunyai beberapa warna seperti merah, putih, hitam, hijau, emas, pink dan tiga karakter warna yang dianggap memberi keuntungan iaitu putih, hitam dan oren. Anda sedia maklum bahawa warna putih melambangkan kesucian, iaitu warna kedua dari tiga warna tersebut. Namun, warna hitam yang dianggap mistik itu membawa simbolik kepada menjaga kesihatan dan mencegah pemilik daripada gangguan ghaib atau benda halus. Warna merah pula, melambangkan pelindung daripada sebarang penyakit dan roh-roh jahat yang menghantui kehidupan sang pemilik.

Gambar via Medium

3. Benda yang Maneki Neko genggam dan kenakan juga memiliki makna yang tersendiri.

Pernahkah anda melihat patung Maneki Neko di kedai-kedai dan apa yang anda dapat lihat digenggaman atau dikenakan oleh Maneki Neko? Maneki Neko mempunyai pelbagai jenis aksesori yang digunakan tetapi kesemuanya bukan membawa erti yang sama malah sebaliknya.

Menurut IDN Times, sekiranya Maneki Neko memegang syiling emas yang diberi nama ryo, ianya membawa erti sebagai pembawa keuntungan kepada pemiliknya. Manakala sekiranya di genggaman itu adalah ikan sejenis gurame bererti kemakmuran dan keuntungan. Ikan gurame mendapat pemintaan yang tinggi di pasaran dan didakwa mendapat keuntungan apabila seseorang itu membuka perniagaan ikan gurame tersebut. Namun, palu kecil yang dibawa Maneki Neko bermaksud kekayaan dan batu Kristal melambangkan kebijaksanaan.

4. Toko-nyan, kepala Maneki Neko terbesar di dunia berada di Kota Tokoname, perfektur Aichi

Ganbar via Pinterest

Tokonyan merupakan patung Maneki Neko yang terbesar di dunia dengan ketinggiannya 3.8 meter dan lebarnya 6.3 meter.  Hal ini menjadi tarikan masyarakat Jepun malah tarikan pelancong untuk melihat dan berkunjung ke perfektur Aichi. Masyarakat sekeliling dan pengunjung beranggapan bahawa rupa dan ciri yang unik yang terdapat pada mata bulat Maneki Neko itu seolah-olah memperlihatkan dan melindungi seluruh kota Jepun.

5. Perayaan Maneki Neko di sambut pada setiap 29 September setiap tahun.

 Hari Maneki Neko atau digelarkan sambutan “Maneki Neko no Hi” merupakan perayaan yang bakal disambut pada setiap tarikh 29 September. Masyarakat Jepun menyebut nombor 9 sebagai “ku”, angka 2 disebut “fu” dan n angka 9 disebut “ku” lantas apabila ianya disambungkan ianya menjadi satu perkataan yang bererti keberuntungan iaitu “kurufuku”. Perayaan tersebut disambut dengan gilang gemilang oleh masyarakat Jepun dan sesetengah masyarakat akan mengambil kesempatan dengan memuat naik gambar gaya kucing peliharaan seperti Maneki Neko.

Gambar via SoraNews24

6. Muzium Maneki Neko

Disebabkan Maneki Neko sangat terkenal dan popular di negara Jepun, terdapat satu tempat yang wajib dilawati oleh masyarakat Jepun dan juga pelancong iaitu Muzium Maneki Neko atau dikenali sebagai Maneki Neko Museum of Art yang terletak di daerah Okayama, Jepun. Di muzium tersebut, anda boleh melihat sendiri koleksi-koleksi patung Maneki Neko dalam pelbagai saiz dan warna. Menurut Akurat.Co terdapat sebanyak 700 koleksi patung Maneki Neko yang dipamerkan dan terbuat daripada kertas, kayu, lilin mahupun batu.

Gambar via Lonely Planet

Rujukan

(1) Santoso, T. (2015). TUGAS ETNO. Sumber dipetik daripada https://www.academia.edu/14911922/TUGAS_ETNO

(2) Wiranty, G. (2018). 7 Fakta Unik ‘Maneki Neko’, Patung Kucing yang Dipercaya Bawa Untung. Sumber dipetik daripada https://www.idntimes.com/hype/fun-fact/glenda-mutia-wiranty/7-fakta-unik-maneki-neko-patung-kucing-yang-dipercaya-bawa-untung-c1c2/7

(3) A, M. (2017). Serat Ngalamating Kucing Mitos Kucing dalam Budaya Jawa. Sumber dipetik daripada https://ejournal.undip.ac.id/index.php/nusa/article/view/16860/12238

(4) Syafriadi, A. (2018). 7 Fakta Unik Patung Kucing Maneki Neko yang Melegenda! Sumber dipetik daripada https://akurat.co/id-1219105-read-7-fakta-unik-patung-kucing-maneki-neko-yang-melegenda

(5) Kompasiana.com. (2018). Kenapa Maneki Neko Disebut Kucing Keberuntungan? Sumber dipetik daripada  https://www.kompasiana.com/gladysvelo/5b5efb9ad1962e6414790154/kenapa-maneki-neko-disebut-kucing-keberuntungan?page=all

Nabila

Memilih untuk menjadikan pena sebagai duri yang memberi manfaat kepada manusia

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.