Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Siasat Bunyi Letupan, Gegaran Di Ipoh Pagi Tadi
IPOH, 18 Jun (Bernama) – Polis sedang menyiasat dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya menerima maklumat atau laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Kita sedang siasat,” katanya ringkas.
Sementara itu, seorang penduduk di Klebang Harmoni dekat sini, Mohammad Danial Nordin, 36, berkata beliau yang secara kebetulan berada di rumah mendengar dengan kuat bunyi letupan berkenaan.
“Saya dengar bunyi seperti ada orang tutup pintu dengan kuat dan berlaku gegaran semasa kejadian.
“Memang misteri sungguh sebab bunyi yang sangat kuat dan berlaku gegaran,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Menurut hantaran dan komen-komen di media sosial, netizen mendakwa berasa gegaran di kawasan mereka termasuk di Chemor, Chepor dan Tanah Hitam kira-kira 10.30 pagi tadi.
Pada 21 Oktober tahun lepas, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput kira-kira 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di Ipoh sehingga kini masih dikategorikan sebagai misteri, selain polis masih melakukan siasatan terperinci berhubung insiden itu.
Sumber: Bernama
BACA: Iran Arah Rakyatnya Padam WhatsApp, Dakwa Hantar Maklumat Kepada Israel
BACA: Suami Isteri Maut, Tiga Anak Cedera Dalam Kemalangan Di Pekan