Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kematian Noorizwan Dalam Tahanan Diklasifikasi Semula, Polis Siasat Mengikut Seksyen 331 KK

NOORIZWAN
Kredit: Bernama

Kes kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kini diklasifikasikan semula sebagai kes dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan atau memaksa pemulangan harta benda.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda.

Beliau berkata, keputusan mengklasifikasikan semula kes itu dibuat selepas polis merakam keterangan daripada pakar perunding perubatan forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.

“Pakar forensik mengesahkan terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh si mati, dengan corak kecederaan konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul dan bukan kecederaan yang dilakukan sendiri,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kumar berkata, siasatan berhubung kematian Noorizwan pada 1 Oktober lalu kini diambil alih Bahagian Pendakwaan dan Undang Undang (D5) Bukit Aman.

Allahyarham sebelum ini ditahan di IPD Cheras bagi membantu siasatan beberapa kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Peruntukan berkenaan masing masing berkaitan kesalahan dadah, pecah rumah atau pencerobohan dengan niat melakukan kesalahan serta mencuri.

Pada 30 September lalu, Noorizwan dirujuk ke HCTM di Cheras untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober.

Bagaimanapun, Kumar memaklumkan laporan penuh bedah siasat bagi menentukan punca kematian masih belum diperoleh kerana analisis makmal belum selesai.

Katanya, polis sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam mengendalikan serta menguruskan si mati sepanjang tempoh dia ditahan di IPD Cheras.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa sebarang unsur melindungi pihak tertentu, bagi memastikan keadilan jenayah ditegakkan mengikut undang undang,” katanya.

Kumar menegaskan polis kekal komited terhadap prinsip ketelusan dan integriti sepanjang siasatan dijalankan serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku.