Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pendidikan AI Tidak Boleh Pinggirkan Akhlak Dan Nilai Kemanusiaan - PM Anwar

akhlak
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pendidikan perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak dan nilai kemanusiaan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah mempunyai budi pekerti yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI memiliki keupayaan dari segi pengetahuan dan kepintaran, namun tidak mempunyai nilai, akhlak serta kemanusiaan seperti yang perlu dibentuk dalam diri manusia.

Menurutnya, penggunaan teknologi dalam pendidikan merupakan sebahagian daripada hala tuju negara untuk menghadapi masa depan, tetapi kemajuan itu tidak seharusnya menyebabkan masyarakat melupakan batasan teknologi berkenaan.

“AI ada pengetahuan tetapi hilang kemanusiaan dan rendah akal budi. AI tidak ada nilai, tiada akhlak, tidak ada kemanusiaan. Hanya kepintaran,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang pelajar mengenai kemungkinan semua sekolah di negara ini menggunakan teknologi seperti tablet, komputer riba dan AI pada masa hadapan.

Terdahulu, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar dari beberapa sekolah sekitar Pasir Gudang dan Pontian, Johor, di bangunan Parlimen.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat perlu memahami bahawa keupayaan teknologi sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai nilai moral dan akhlak yang baik.

Beliau turut mengingatkan kepentingan konsep akal budi dalam budaya Melayu yang menghubungkan kebijaksanaan berfikir dengan pembentukan akhlak seseorang.

Justeru, Anwar mengajak pelajar supaya terus mengamalkan nilai kasih sayang dan menghargai ibu bapa dalam kehidupan seharian.

Katanya, amalan seperti memeluk dan mencium ibu bapa serta menzahirkan penghargaan kepada mereka merupakan antara cara memupuk nilai kemanusiaan yang perlu terus dipelihara meskipun masyarakat semakin maju dengan teknologi.

Sumber:Facebook
Intipati
  • Anwar berkata AI dalam pendidikan perlu diseimbangkan dengan akhlak dan nilai kemanusiaan.
  • Beliau menjawab soalan pelajar mengenai penggunaan tablet, komputer riba dan AI di sekolah.
  • Perdana Menteri turut mengajak pelajar menghargai ibu bapa dan mengamalkan kasih sayang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan