Siakap Keli

Pakar Virologi Thailand Dilapor Bimbang Penularan Jangkitan RSV Dalam Kalangan Kanak-kanak

BANGKOK, 3 Nov (Bernama) — Seorang pakar virologi bimbang terhadap wabak Virus Pernafasan Syncytial (RSV), yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan kanak-kanak, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn Dr Yong Poovorawan, berkata RSV merebak dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

Wabak itu berlaku selepas sesi penuh persekolahan dibuka semula pada September terutama dalam kalangan murid tadika dan penularannya masih belum berkurangan.

Gejala jangkitan RSV termasuk demam, batuk, bersin dan nafas berbunyi. Ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih teruk seperti bronkiolitis, radang saluran udara kecil di paru-paru dan radang paru-paru.

Tiada rawatan khusus atau vaksin untuk jangkitan RSV, katanya.

Ibu bapa dan anak-anak mereka dapat melindungi diri daripada virus dengan memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan, katanya.

Pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah perlu sentiasa membasmi kuman daripada mainan dan barang yang digunakan oleh kanak-kanak. Mereka dinasihatkan untuk menutup operasi sekiranya terdapat banyak kes RSV di dalam kelas.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.