IPOH, 9 Nov — Seramai 5,700 anggota dan pegawai polis di Perak sedia diatur gerak bagi melaksanakan tugas-tugas memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri mulai hari ini.
Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata ketika ini seramai 1,800 pegawai dan anggota terlibat dalam melaksanakan 51 sekatan jalan raya meliputi 28 lokasi di sempadan daerah dan 23 sempadan negeri.
“Di samping itu, sebanyak 450 pasukan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) turut digerakkan bagi melakukan pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Goh yang juga Timbalan Ketua Polis Perak berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk melakukan hebahan berkaitan pematuhan SOP melalui pasukan kereta peronda polis yang melakukan rondaan di kawasan penugasan.
Beliau menasihatkan semua pihak mematuhi setiap SOP dan peraturan yang ditetapkan dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19.
Sumber: BERNAMA