Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Benarkan Penumpang Kemudi Bot, Pengusaha Bot Akan Dikenakan Tindakan – Maritim Malaysia

Azizah Najib
penumpang kemudi bot
Kredit: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Benarkan Penumpang Kemudi Bot, Pengusaha Bot Akan Dikenakan Tindakan – Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengusaha bot pelancong yang didapati cuai dengan membenarkan penumpang tanpa kelayakan mengemudi bot di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, hasil siasatan awal mendapati nakhoda cuai dengan membenarkan seorang penumpang tanpa lesen sah mengendalikan bot penumpang.

Menerusi sebuah rakaman video yang tular, penumpang juga dilihat tidak memakai jaket keselamatan ketika bot tersebut sedang bergerak. Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan penumpang kepada risiko maut. Bot penumpang seharusnya dikendalikan oleh individu yang berlesen dan terlatih.

“Pihak Maritim Malaysia akan memanggil pengusaha bot berkenaan dalam masa terdekat bagi memberikan keterangan berhubung insiden tersebut dan membantu siasatan lanjut,” kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memantau kandungan media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi aspek keselamatan serta undang-undang laut.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman seperti denda, penggantungan lesen dan penahanan bot terhadap pengusaha yang cuai.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan maritim. Setiap pengusaha perlu lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali memperjudikan nyawa penumpang,” tegasnya lagi.

Hamiludin berkata, bagi memperkukuh tahap keselamatan di laut, pihak Maritim Negeri Terengganu sering melaksanakan rondaan serta program pencegahan dan penyelamatan (preventive SAR) di jeti-jeti penumpang seluruh Terengganu.

Pendekatan berkenaan turut melibatkan sesi pemberian nasihat dan peringatan keselamatan kepada pengusaha bot pelancong dan penumpang, termasuk nelayan.

Sementara itu, orang awam dan komuniti maritim disaran agar menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran undang-undang laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 yang beroperasi 24 jam.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

BACA: Roket & Peluru Berpandu Pun Boleh Masuk Angin? Pakar Jelaskan Sebabnya

BACA: Peluru Berpandu Hipersonik Sukar Dipintas, Ini Sebabnya