Jenazah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut ketika operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, selamat dikebumikan malam tadi.
Allahyarham yang bertugas sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah kira-kira pukul 9.45 malam.
Pengebumian Allahyarham disempurnakan dengan istiadat penghormatan terakhir oleh Maritim Malaysia sebagai tanda penghargaan atas segala jasa, khidmat bakti dan pengorbanan beliau kepada negara.
Jenazah Anggota Maritim Malaysia Selamat Dikebumikan

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian yang dihadiri kira-kira 500 orang, terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, penduduk setempat serta warga Maritim Malaysia yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah dan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.
Antara detik paling menyentuh hati ialah penyerahan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham oleh Mohd Zawawi sebagai simbol penghormatan negara terhadap jasa anggota yang terkorban ketika menjalankan tugas.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang kini meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.
Bagi seluruh warga Maritim Malaysia, pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang anggota, malah turut meninggalkan kesedihan dalam kalangan rakan seperjuangan yang berkongsi amanah menjaga keselamatan perairan negara.

“Mungkin tidak semua daripada kami mengenali Allahyarham secara peribadi. Namun, kami memahami erti pengorbanan yang dipikul oleh setiap anggota setiap kali melangkah keluar menjalankan tugas demi negara.
“Di sebalik seragam yang sama, kami berkongsi amanah, keberanian dan risiko yang sentiasa mengiringi setiap penugasan,” menurut Maritim Malaysia.
Agensi itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.
Al-Fatihah.

