Siakap Keli
Gambar: Bernama

‘Sarip’, ‘Mingo’, ‘Leman’ Dan Rakan-Rakan Sedia Dijadikan Haiwan Angkat

LANGKAWI, 16 Nov (Bernama) — Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai program pengambilan haiwan angkat bagi menampung kos keperluan makanan haiwan di lokasi tersebut.

Pengurus THLL Nur Hamzani Hamzah berkata berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada kemasukan pelancong ke Langkawi mengakibatkan pelawat ke taman haiwan itu turun mendadak sekali gus memberi kesan kepada kos operasi.

“Sumber utama pendapatan THLL ini ialah menerusi jualan tiket masuk, tetapi berikutan PKPB pendapatan terjejas kerana kurangnya pelawat datang. THLL mengambil langkah membuka peluang kepada orang ramai menyertai program haiwan angkat bagi membantu kami mencari dana untuk makanan haiwan di sini.

“Ada lebih 10 haiwan untuk program haiwan angkat ini seperti ‘Sarip’ (rakun), Mingo’ (burung flamingo), ‘Leman’ (burung kakaktua) serta beberapa spesis haiwan lagi. Selain program pengambilan haiwan angkat, orang ramai boleh memberi sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga bantuan seperti dedak dan sayur-sayuran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nur Hamzani berkata maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman Facebook Langkawi Wildlife Park dan laman sesawang https://langkawiwildlifepark.com.

Menurut beliau, bagi menarik kehadiran pengunjung, THLL juga kini memberi potongan harga tiket masuk pada kadar yang sangat rendah.

“Bagi warga Langkawi, tiket masuk dikenakan hanya RM10 untuk dewasa dan kanak-kanak, tawaran ini sah hingga 30 Nov.

”Bagi Penduduk Kedah (luar Langkawi) dan Perlis pula tiket dikenakan RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Langkawi SkyCab, antara sistem kereta kabel tercuram di dunia yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Mat Chinchang berketinggian 708 meter, turut menawarkan potongan harga tiket masuk kepada warga pulau ini.

Jurucakap Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), pengendali Langkawi SkyCab berkata pihaknya menawarkan tiket masuk pada harga RM20 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

“Harga RM20 itu termasuk harga tiket menaiki Langkawi SkyCab, Langkawi SkyBridge dan SkyGlide, malah pengunjung dapat menikmati teh tarik percuma di puncak Gunung Mat Chinchang. Tawaran ini sah sehingga 6 Dis depan,” katanya.

— BERNAMA