Siakap Keli

Bergantung Kepada Penilaian KKM, Ada Kemungkinan Beberapa Negeri Ditamatkan PKPB, Dijangka Diumum Jumaat Ini

PUTRAJAYA, 18 Nov – Keputusan penilaian status negeri-negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka akan diumumkan Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) itu adalah berpandukan pada tempoh masa dua minggu.

“Jadi sekarang ini KKM sedang menilai daripada segi jumlah kes, penilaian risiko, kebarangkalian jangkitan dan sebagainya, sedang dinilai.

“KKM akan bentangkan keputusannya pada Sidang Khas Jumaat ini,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, keputusan penilaian tersebut juga akan memberi gambaran tentang masa depan status negeri-negeri PKPB berkenaan.

“Insya-Allah kalau didapati tiada peningkatan kes, pandangan daripada KKM (bahawa) tempat itu sudah selamat, statusnya boleh dianggap sebagai negeri hijau, maka kemungkinan beberapa negeri itu akan ditamatkan PKPB mereka.

“Bagaimanapun, ianya masih bergantung pada penilaian yang dibuat oleh KKM nanti,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Ismail menyeru rakyat bersama-sama mendoakan agar tiada lagi peningkatan kes yang mendadak di negeri-negeri terlibat.

“Tunggulah, doalah… Hari ini dalam Sidang Khas, menteri-menteri besar pun ada. Jadi saya beritahu sama-samalah kita berdoa (agar) di negeri berkaitan tidak ada peningkatan kes, daripada segi pandangan KKM tiada lagi isu.

“Dan mungkin beberapa negeri akan diisytihar tamat PKPB mereka, dan mungkin selepas itu (hanya) tertumpu pada lokaliti tertentu saja dalam negeri-negeri yang berkaitan,” katanya.

Sumber: RTM